Khir Toyo failkan nusyuz terhadap isteri pertama 

0
2

MAHKAMAH Syariah Shah Alam bakal mendengar permohonan bekas Menteri Besar Selangor, Dr Khir Toyo yang memfailkan kes nusyuz terhadap isterinya, Zaharah Kechik pada 28 Julai ini.

Permohonan kes nusyuz itu dikemukakan Dr Khir melalui Tetuan Maulan & Co di Mahkamah Syariah, Shah Alam pada 7 April 2022, lapor Malaysiagazette. 

Sebutan pertama kes itu yang sepatutnya dibuat pada 1 Jun lalu bagaimanapun ditunda kepada 28 Julai ini susulan Dr Khir gagal hadir ke mahkamah dan hanya diwakili peguamnya sahaja.

Perkara itu disahkan peguam Zaharah, Rozahahah Juisin dari Tetuan Zana & Associates.

“Hakim Masnizar@Mohd Nizar Mokhtar menetapkan 16 Jun ini untuk pihak kami memfailkan penyataan pembelaan manakala pihak Dr Khir memfailkan jawapan kepada pembelaan pada 30 Jun 2022 secara pentadbiran sahaja.

“Sebutan semula di hadapan hakim pada 28 Julai 2022. Pihak-pihak juga dalam proses penyelesaian secara baik,” katanya. 

Sementara itu, peguam Dr Khir, Siti Maspuah Maulan bagaimanapun enggan mengesahkan perkara tersebut.

Bagaimanapun Siti Maspuah hanya memaklumkan bahawa Dr Khir dan Zaharah masih pasangan suami isteri yang sah.

“Dia orang belum bercerai lagi,” katanya. 

Zaharah adalah isteri pertama Dr Khir yang diijabkabulkan pada tahun 1990 dan dikurniakan seorang anak. Pasangan itu turut mempunyai lima anak angkat.

Bagaimanapun pada tahun 2016, Dr Khir telah bernikah dengan isteri keduanya, Christine Zanitrah Abdullah, 39. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here