Harga barang naik, kerajaan perlu cari mekanisme terbaik – Asyraf Wajdi

0
2

PEMUDA Umno memohon kerajaan untuk mencari mekanisme terbaik bagi membantu rakyat khusus B40 dan M40 menghadapi peningkatan mendadak harga barangan keperluan termasuk bekalan ayam.

Sehubungan itu, Ketua Pemuda Umno, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki mencadangkan kerajaan untuk mengemaskini status B40 dengan lebih terperinci bagi memastikan bantuan tunai langsung yang direncanakan dapat disalurkan.

“Laksanakan kemaskini status itu berbanding subsidi RM720 juta kepada penternak, (adakah) benar-benar efektif tatkala rakyat sedang bergelut dengan isu kenaikan harga ayam ketika ini.

“Justeru, kerajaan harus mengemaskini maklumat itu supaya isu keciciran di kalangan rakyat tidak berulang terutamanya ketika pemberian bantuan-bantuan sepanjang pandemik seperti Bantuan Prihatin Rakyat (BPR), Bantuan Prihatin Nasional (BPN), Bantuan Khas Covid-19 (BKC), dan Bantuan Keluarga Malaysia (BKM),” katanya menerusi Facebook.

Tambah Asyraf, definisi B40 ketika ini adalah rakyat yang berada dalam kategori pendapatan isi rumah keluarga sebanyak RM4,851 sebulan dan ke bawah.

“Namun, hakikatnya ketika era pandemik dan pasca pandemik, ramai yang hilang pekerjaan dan punca pendapatan menyebabkan status pendapatan isi rumah mereka juga telah berubah,” katanya.

Dalam masa sama, beliau juga meminta pembelaan untuk golongan M40.

Katanya, golongan ini juga tidak boleh dipandang enteng kerana hakikatnya mereka turut bergelut dengan kenaikan harga barang serta pendapatan masih terjejas akibat pandemik Covid-19.

“Justeru, mekanisme untuk membantu rakyat untuk menghadapi kenaikan harga ayam yang mendadak termasuk barangan keperluan harian yang lain perlu bersifat komprehensif dan inklusif agar rakyat tidak dibiarkan melarat dan bertambah susah ketika ini,” katanya. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here