Tun akhirnya mengaku, perebutan jawatan PM punca kejatuhan kerajaan PH

0
3

TUN Dr Mahathir akhirnya mengakui tumbangnya kerajaan Pakatan Harapan (PH) setelah 22 bulan berpunca perebutan jawatan Perdana Menteri antara beliau dengan Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Ketua Pemuda Umno, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki berkata Perdana Menteri ketujuh itu akhirnya mengaku perpecahan dalam PH menyebabkan beliau tidak cukup sokongan majoriti Ahli Parlimen, susulan ‘Langkah Sheraton’ pada Februari 2020.

“Akhirnya Dr Mahathir mengakui punca dia letak jawatan dan runtuhnya Kerajaan PH 22 bulan akibat perbalahannya dengan Anwar Ibrahim,” katanya di Facebook hari ini.

Terdahulu dalam wawancara bersama Utusan Malaysia, Dr Mahathir menjelaskan, disebabkan Anwar mahu menjadi Perdana Menteri, undi Ahli Parlimen PH berpecah, sekali gus menyebabkan beliau dan Anwar gagal dilantik menjadi Perdana Menteri.

Dalam pada itu, Asyraf Wajdi mempersoalkan keupayaan konsep ‘khemah besar’ dilaungkan pembangkang sebagai satu-satunya cara yang boleh menewaskan Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

Dr Mahathir membayangkan khemah besar pembangkang tidak akan disertai Presiden Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Anwar kerana beliau meragui kejujuran kedua-dua pemimpin berkenaan.

“Apakah PH bersedia untuk khemah besar atau gabungan baharu parti-parti pembangkang di bawah PH tanpa Anwar dan Abah Muhyiddin Yassin?

“Apakah rakyat masih mahu bergantung harap kepada khemah besar PH?

“Apa pula janji-janji manis PH kali ini? Atau manifesto sudah menjadi kitab suci demi menang PRU15?” soal Asyraf Wajdi. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here