SETIAUSAHA Agung PKR, Datuk Seri Saifuddin Nasution menegaskan tidak timbul isu Datuk Seri Anwar Ibrahim tidak cukup sokongan untuk menjadi Perdana Menteri sekiranya Tun Dr Mahathir Mohamad memegang janjinya.
Beliau juga menafikan kenyataan Dr Mahathir yang mendakwa bahawa Ahli Parlimen Langkawi itu masih lagi Perdana Menteri jika bukan kerana langkah Anwar.
“Tidak timbul Anwar tak sokong. Perjanjian sebelum PRU14 ialah Dr Mahathir jadi Perdana Menteri ketujuh. Anwar, PKR dan Pakatan Harapan (PH) menunaikan janji. PH menang PRU14 dan Dr Mahathir menjadi Perdana Menteri ketujuh negara.
“Saya sendiri yang mewakili PKR di samping pimpinan DAP dan Amanah yang terlibat tahu bahawa Dr Mahathir setuju sebagai interim PM.
“Dia tidak setuju menetapkan tarikh untuk berhenti tetapi setuju dua tahun untuk tidak dilihat sebagai ‘lame duck’ atau pemimpin yang akan pincang. Ternyata Dr Mahathir mungkir janji,” katanya seperti dilapor MalaysiaKini.
Saifuddin berkata demikian mengulas dakwaan Dr Mahathir menerusi Wawancara dengan Utusan Malaysia bahawa beliau masih lagi Perdana Menteri dan Anwar sebagai ‘tidak lurus’.
Menjelaskan krisis politik negara pada 2020, Saifuddin yang juga ahli parliman Kulim Bandar-Baharu berkata, Dr Mahathir meletak jawatan sebagai Perdana Menteri tanpa membuat perbincangan dengan pimpinan PH.
“Dia hilang jawatan akibat perbuatan sendiri yang silap. Jika dia mengakui kesilapannya dia akan lebih dihormati.
“Janji PKR dan PH untuk menjadikan Dr Mahathir sebagai Perdana Menteri ketujuh telah ditunaikan.
“Dr Mahathir sendiri tidak tunai janji untuk melepaskan jawatan PM kepada Anwar. PKR tidak pernah janji sokong Dr Mahathir sebagai PM kelapan.
“Jika, Mahathir tunai janji, tidak timbul Anwar tak cukup majoriti,” katanya. – Malaysiapost

