KEMENTERIAN Pendidikan (KPM) menjelaskan tiada sebarang kuota khas diperuntukkan dalam pengambilan guru atau Pegawai Perkhidmatan Pendidikan Gred DG41 (DG41) termasuk dalam kalangan guru kontrak perkhidmatan (COS).
Menterinya, Datuk Dr Radzi Jidin berkata, beliau dari awal sudah menegaskan keutamaan diberikan kepada graduan yang mempunyai ikhtisas pendidikan.
Justeru, katanya, tidak timbul soal bahawa ada graduan ikhtisas pendidikan cuba mengambil kuota yang sepatutnya diberikan kepada graduan tanpa ikhtisas pendidikan.
“Sekiranya ada kekosongan selepas mengambil kira calon yang ada ikhtisas pendidikan yang layak maka, barulah kita buka kepada mereka yang tidak mempunyai ikhtisas pendidikan.
“Bagaimanapun, kita tidak mempunyai data lengkap mengenai bilangan graduan yang memiliki ikhtisas pendidikan dalam pasaran,” katanya dalam sidang media hari ini.
Radzi berkata, disebabkan tiada data lengkap itu, pihaknya membuat unjuran dan menghantar sekitar 4,000 calon yang tiada ikhtisas pendidikan kepada Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) untuk diperakuan khusus bagi membolehkan mereka dipilih oleh Suruhanjaya Perkhidmatan Pelajaran (SPP).
“SPP akan pilih berapa ramai ia nak. Yang paling penting ia perlu menyelesaikan dahulu pengambilan graduan ikhtisas pendidikan dan apa baki yang ada barulah ditawarkan kepada graduan bukan ikhtisas pendidikan.
“Jadi tidak timbul dakwaan yang mengatakan ada kuota 4,000 graduan bukan ikhtisas pendidikan. Tidak ada perkara itu kerana tidak ada kuota.
“Apa yang berlaku ialah mereka ini disenarai pendek. Apabila disenarai pendek ia tidak bermakna mereka akan mendapat jawatan itu,” katanya.
KPM sebelum ini dikritik mendakwa SPP tidak telus dalam pengambilan temudaga COS baru-baru ini.
Sabtu lalu, Radzi memaklumkan KPM melanjutkan kontrak 2,683 COS pengambilan 2020 yang akan tamat pada 9 Jun ini. – Malaysiapost

