Miliki kekayaan RM21.7 juta, jangan gelar saya jutawan – Adi Putra

0
3

IBARAT resmi padi, makin berisi makin tunduk, itulah yang dapat digambarkan kepada pelakon, Datuk Adi Putra.

Dia yang dilaporkan memiliki kekayaan mencecah sehingga AS$5 juta bersamaan RM21.7 juta masih enggan mengaku apatah lagi dilabel sebagai jutawan.

Hero KL Gangster itu menyifatkan segala kesenangan yang diperolehnya hari ini hanyalah sekadar pinjaman Allah semata-mata.

“Angka tersebut diberikan oleh orang. Ia boleh jadi lebih dan kurang. Namun, ia hanya angka, apa yang lebih penting ialah hala tuju kita sebagai hamba. Saya hanya meminjam daripada-Nya sahaja.

“Kalau boleh janganlah gelar saya jutawan. Saya lebih selesa bergerak di belakang tabir. Ada sesetengah pihak yang menunjukkan kemewahan mereka di laman sosial.

“Namun saya lebih selesa di belakang tabir kerana ada banyak bidang yang ingin saya ceburi. Kalau saya berhenti berlakon, ada yang akan merindui,” katanya.

Adi Putra atau nama sebenarnya, Mohamed Hadi Putera Halim itu ditemui media di majlis pelancaran filem ‘Air Force The Movie Selagi Bernyawa’ di Pangkalan Udara Subang, hari ini.

Adi Putra menjelaskan, dia juga aktif mengusahakan perniagaan pakej umrah Hadid Travel & Tour sejak tahun 2013 dengan niat untuk membantu seramai mungkin orang mengerjakan ibadah umrah di tanah suci.

“Jika kita mudahkan urusan orang, Allah akan mudahkan urusan kita. Itulah bermulanya niat karier saya dalam bidang perniagaan.

“Semoga lebih ramai yang boleh sampai ke tujuan dan destinasi mereka bagi menunaikan umrah. Selagi ada kaabah selagi itu urusan umrah perlu dikerjakan,” katanya.

Selain itu, Adi Putra juga dikatakan bergiat aktif melakukan kerja-kerja kebajikan dan sering menghulurkan bantuan kepada masyarakat yang memerlukan.

“Saya rasa bersyukur dan berterima kasih kepada orang tua saya dan mereka yang menyampaikan berita itu. Tidak perlu saya hebahkan kerana ternyata pengantara itu sudah ada.

“Sebagai figura awam saya tidak boleh lari daripada pemerhatian orang. Sekurang-kurangnya itulah yang boleh saya lakukan. Betul saya nak memberi kepada masyarakat dengan cara ini, orang lain, lain caranya,” katanya.

Adi Putra sebelum ini pernah tersenarai sebagai selebriti yang mempunyai kekayaan lebih dari AS$1 juta pada tahun 2017/2018 sekali gus tersenarai sebagai 10 selebriti terkaya di Malaysia. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here