Wan Saiful lebih sesuai ganti Zuraida

0
3

PERDANA Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob diminta mempertimbangkan Ketua Penerangan Bersatu, Datuk Wan Saiful Wan Jan untuk mengisi jawatan Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi.

Ketua Penerangan Armada Bersatu Selangor, Mukriz Azhari, berkata Wan Saiful wajar dipertimbangkan untuk dilantik sebagai senator dan seterusnya menganggotai Kabinet berdasar reputasi cemerlangnya.

“Dengan rekod bersih, berkeupayaan tinggi, memiliki jaringan antarabangsa yang luas, kecemerlangan prestasi kerja, integriti tinggi dan disenangi rakyat, Wan Saiful dilihat layak untuk memegang jawatan tersebut,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Beliau berkata, Wan Saiful antara calon paling popular diperkatakan dan menurut sumber dalaman, namanya adalah di tangga pertama senarai mendahului Datuk Mas Ermieyati Samsudin dan dua calon lain.

“Berbanding Mas Ermieyati yang kini sudah menyandang jawatan Timbalan Menteri Di Jabatan Perdana Menteri, Wan Saiful dilihat lebih sesuai diangkat kerana belum diuji keupayaan, karisma dan kredibilitinya di peringkat Persekutuan,” katanya.

Tambah Mukriz, Wan Saiful yang merupakan Pengerusi Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN), didakwa akan menamatkan tempoh perkhidmatan itu dalam masa terdekat.

Justeru, katanya, spekulasi itu sekali gus menguatkan desas-desus dikaitkan pelantikan ke dalam Kabinet Ismail Sabri.

“Mencatatkan rekod pencapaian cemerlang di PTPTN dengan caruman tertinggi walau berdepan kesukaran akibat pandemik menunjukkan keupayaan Wan Saiful ‘reliable’ dan boleh diharap memimpin organisasi besar dengan misi lebih besar di persekutuan,” katanya.

Beliau berkata, Wan Saiful yang dilantik sebagai Ketua Penerangan Bersatu menggantikan Datuk Dr Radzi Jidin juga dilihat agresif turun ke lapangan dan dikenali di akar umbi sebagai nama yang meningkat naik, berkeupayaan mengatur pengurusan makro dan mikro.

“Wan Saiful turut dikatakan anak emas Tan Sri Muhyiddin Yassin. Cerita yang sering berlegar dalam lingkungan parti, Tan Sri kerap memberi peranan penting dan tugas-tugas besar kepada Wan Saiful sebagai salah seorang G5 Bersatu.

“Dengan sumber terhad dan kekurangan tenaga kerja, beliau dilihat mampu menunaikan tanggungjawab dengan cemerlang dan sering mengundang pujian banyak pihak,” katanya.

Justeru, katanya, Ismail Sabri wajar mempertimbang cadangan mana yang diberi Muhyiddin bagi mengisi kekosongan jawatan Kabinet tersebut.

Pada 26 Mei lalu, Zuraida mengumumkan meletak jawatan sebagai Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi serta keluar Bersatu untuk sertai Parti Bangsa Malaysia (PBM).

Ahli Parlimen Ampang itu berkata, beliau memutuskan menyertai PBM kerana tertarik dengan perjuangan parti baharu berkenaan. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here