INI yang dikatakan rezeki, kata pemain tengah kebangsaan, Safiq Rahim.
Bekas ketua pasukan Harimau Malaya itu menyifatkan jaringan menerusi sepakan percuma ketika menentang Hong Kong malam tadi adalah hasil kerjasama rakan sepasukan.
“Terima kasih kepada rakan-rakan sepasukan yang memberi sokongan.
“Saya harap kita akan dapat sokongan daripada semua, sesiapa sahaja yang diturunkan perlu melakukan yang terbaik,” katanya memetik laporan Flash Sukan.
Safiq adalah pakar sepakan percuma skuad Malaysia sewaktu ketika dahulu.
Peminat bola sepak tanahair pasti tidak dapat melupakan sepakan percuma cantik Safiq membolosi gawang Liverpool dalam aksi persahabatan dengan kelab Liga Perdana Inggeris itu pada 2011.
Pemain Johor Darul Ta’zim (JDT) berusia 34 tahun itu jelas gembira kerana diberi kepercayaan oleh ketua jurulatih, Kim Pan-gon untuk berada dalam barisan Harimau Malaya. – Malaysiapost

