DI SEBALIK persembahan cemerlang skuad Harimau Malaya menumbangkan Hong Kong 2-0 di Stadium Nasional di Bukit Jalil malam tadi, ada sesuatu yang lebih menarik perhatian netizen.
Ia susulan ‘tanda perdamaian’ antara pemain senior, Safiq Rafim dan pemain muda, Faisal Halim sejurus Safiq menjaringkan gol kedua buat pasukan negara.
Tentunya masih ramai peminat bola sepak tempatan mengingati insiden Safiq menanduk muka Faisal ketika aksi separuh akhir kedua Piala Malaysia di Stadium Sultan Ibrahim, musim lalu.
Bagaimanapun apa yang disajikan dalam aksi malam tadi, nyata kedua-dua pemain telah melupakan insiden tersebut dan kembali akrab di dalam padang.
Sejurus Safiq menjaringkan gol kedua Harimau Malaya pada minit ke-90, Faisal menjadi pemain pertama menerpa ke arah pemain tengah berpengalaman itu sebelum memanjat belakang badannya.
Menerusi komen-komen peminat bola sepak di Twitter, rata-rata mereka menyifatkan ‘perbalahan’ antara kedua-dua pemain telah dilupakan.
Antara komen-komen di Twitter: “Lelaki cepat move on”, “Diaorang ok je, pembenci saja suka berlebihan” dan “Lelaki gaduh sekejap saja”. – Malaysiapost

