BARISAN Nasional (BN) mesti menawan Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15) sekaligus memiliki kuasa mutlak menerajui tampuk pemerintahan negara.
Pengerusi Lembaga Penasihat BN Datuk Seri Najib Razak, berkata BN mesti mendapatkan kembali kuasa mutlak memerintah negara, bukan kuasa hybrid yang terpaksa berkongsi dengan parti lain yang menyusahkannya dalam memerintah negara.
“Kita nak kuasa mutlak. Kita tak mahu kuasa hybrid macam hari ini. Menyusahkan kita. Tak tahu siapa kita boleh percaya. Kita nak tidur parti yang nak menolak PM kita..kita nak kerjasama parti yang telah mengilhamkan ‘scheme of thing’ yang memecah belahkan kita,” ucapnya.
Beliau berkata demikian pada ucapan di Konvensyen BN sempena ulang tahun ke-48 di PWTC, hari ini.
Menjelaskan mengenainya, bekas Perdana Menteri itu menaruh keyakinan angin perubahan politik negara telah kembali kepada BN seperti yang ditunjukkan pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka dan Johor.
“Saya yakin sebab saya dah pergi ‘on the ground’, Saya yakin. ‘Bossku’ dah turun ke bawah. Sudah ada angin perubahan, dan angin ni bertiup ke arah BN.
“Saya merasakan Umno dan BN lebih kuat pada hari ini.
“Kita tengok pada PRN melaka, Johor penambahan yang mengundi BN bertambah. Ini menunjukkan trend yang baik,” katanya.
Bagaimanapun, Najib menegaskan, Umno dan BN tidak boleh dibuai keselesaan kerana takut memakan diri nanti.
“Tapi kita tak boleh dibuai kemenangan. Kalau kita nak menang, saya percaya kepada dua elemen ini.
“Pertama bersedia, buat persiapan dan buat persiapan. Kedua, jangan kita pandang enteng pada parti yg mencabar kita. Tidak ada kekebalan dalam politik. Kita kena guna strategi yang kena,” katanya.
Najib juga berkata, rakyat mahukan sebuah parti yang boleh diharapkan menjaga kestabilan politik sekaligus memacu masa hadapan negara.
“Saya optimis BN akan menang. Mengapa? Pertama orang nak tengok parti yang boleh diharap menjaga rakyat. Orang nak kestabilan, ertinya jaminan masa depan.
“Sebab rakyat dah compare (banding). Dah compare zaman BN, zaman PH (Pakatan Harapan) dan zaman PN (Perikatan Nasional) yang mana zaman BN jauh lebih baik sebenarnya,” ucapnya. – Malaysiapost

