Nilam Oshman
KES harian Covid-19 hari ini mencatatkan 89 kes baharu dengan dua kematian, kata Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah.
Beliau berkata, ini menjadikan jumlah kes positif di Malaysia mencecah 11,224 kes dan jumlah keseluruhan kematian adalah 136 orang.
Menurut Dr Noor Hisham, terdapat penambahan satu kluster baharu yang telah dikenal pasti iaitu Kluster Tembok di Kedah.
“Kluster ini adalah seorang lelaki warganegara Malaysia (iaitu kes ke-11,207) dan merupakan kes kematian ke-135 yang telah dilaporkan pada hari ini.
“Susulan itu, saringan kontak rapat telah dijalankan dan dua lagi kes positif Covid-19 bagi Kluster Tembok dikenalpasti melibatkan warganegara Malaysia,” katanya dalam satu kenyataan.
Menurutnya, daripada 89 kes baharu yang dilaporkan, tiga adalah kes import yang telah mendapat jangkitan luar negara, yang kesemuanya melibatkan bukan warganegara iaitu dua individu warga Belanda dan seorang warga Indonesia masing-masing kes di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur.
Katanya, daripada 86 kes penularan di dalam negara, 84 kes adalah warganegara Malaysia dan dua kes adalah bukan warganegara.
“Daripada 86 kes tersebut juga, sebanyak 25 kes mempunyai sejarah perjalanan ke Sabah, menjadikan 88 kes sejak 20 September lalu,” katanya.
Beliau kata, kini terdapat 35 kes positif di Sabah iaitu 18 kes saringan bergejala, sembilan kes daripada Kluster Bangau-Bangau, tiga kes saringan kontak rapat kepada kes positif Covid-19 iaitu kes ke-10,273, empat kes daripada Kluster Benteng LD, satu kes kematian di Hospital Tawau.
“Manakala terdapat tujuh Kluster Bakawali melibatkan Johor serta satu Kluster Sungai melibatkan Kedah,” katanya.
Katanya lagi, terdapat 16 kes positif Covid-19 yang dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU), di mana tiga kes memerlukan bantuan pernafasan. -Malaysiapost

