110 Pati ditahan Imigresen dalam Ops Durian

0
2

JABATAN Imigresen Malaysia (JIM) menahan 110 pendatang asing tanpa izin (Pati) atas pelbagai kesalahan menerusi Ops Durian semalam, selepas menggempur tiga kilang dan 11 kebun durian di sekitar Raub, Pahang.

Memetik Bernama, Ketua Pengarah Imigresen, Datuk Khairul Dzaimee Daud berkata, menerusi empat siri operasi yang diadakan bermula 13 Ogos sehingga hari ini, warga Indonesia mencatatkan bilangan tahanan paling tinggi, iaitu seramai 94 orang, diikuti Myanmar (lapan) dan masing-masing empat warga Bangladesh serta Pakistan.

Kebanyakan mereka, katanya, tidak mempunyai dokumen perjalanan dan tinggal lebih masa dengan menggunakan pas lawatan sosial yang diberikan kepada pelancong masuk ke Malaysia.

“Warga Indonesia paling ramai ditangkap di sini, kerana mereka mempunyai kemahiran mengenai berkebun dan kami percaya masih ramai lagi Pati berjaya melarikan diri. Operasi ini tidak akan terhenti di sini,” tegasnya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menyertai Ops Durian yang dianggotai 25 anggota JIM di Sungai Ruan, Raub hari ini.

Menurut Khairul Dzaimee, antara cabaran yang dilalui ketika operasi itu ialah kawasan kebun begitu luas, dianggarkan lebih 8,800 hektar, selain pemilik kebun telah melatih anjing untuk menjaga kawasan mereka.

Katanya, semua mereka yang ditahan akan dibawa ke depoh Kemayan, Teriang untuk siasatan mengikut Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 dan Seksyen 15(1)(c) Akta Imigresen 1959/63.

Dalam perkembangan lain, Khairul Dzaimee berkata, pihaknya masih memburu beberapa individu yang terlibat dalam sindiket pemalsuan cap Imigresen didalangi warga Indonesia dikenali ‘Sindiket Anton’ sejak dua tahun lalu.

“Kita masih memburu mereka, saki baki ahli kumpulan ini masih ada dan kita akan terus mengesannya,” katanya.

Pada 15 September lalu, Bernama melaporkan, sindiket berkenaan tumpas susulan dua premis berkaitan kegiatan itu di Sungai Way, Petaling Jaya diserbu dan dalang utama sindiket itu dikenali sebagai ‘Anton’ berusia 38 tahun dan isterinya, 32, juga warga Indonesia ditahan pada 14 September.

Sindiket itu membuat cap palsu Imigresen kepada mana-mana individu yang telah tinggal lebih masa sebelum bermulanya Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dengan pemilik pasport akan menghantar pasport beserta bayaran antara RM150 hingga RM250 bagi setiap cap. – Malaysiapost

Gambar Kredit : MalaysiaGazette