‘Bubar Parlimen, biar rakyat buat perhitungan akhir’ – Asyraf Wajdi

0
2

KETUA Pemuda Umno, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki, menegaskan adalah lebih baik jika Parlimen dibubarkan dan mandat dikembalikan kepada rakyat bagi menyelesaikan kemelut politik negara.

Beliau berkata, negara tidak boleh dibiarkan terus tidak stabil, dan mana mungkin ekonomi dapat dipacu jika politik huru-hara.

“Mana mungkin pelabur dalam dan luar negara punya keyakinan jika kerajaan bakal bertukar lagi!

“Mana mungkin rakyat hidup sejahtera dengan segala kos hidup dan barangan melonjak naik jika Ahli Parlimen berterusan mencatur kuasa, saling mengugut untuk tarik sokongan,” katanya dalam hantaran Facebook hari ini.

Terdahulu, Presiden Parti Warisan Sabah (Warisan) Datuk Seri Mohd Shafie Apdal mendakwa Tan Sri Muhyiddin Yassin dua bulan lalu memberitahunya mempunyai sokongan 119 Ahli Parlimen selepas berunding dengan Setiausaha Agong DAP Anthony Loke dan Pengerusi Pakatan Harapan, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Bagaimanapun, Mohd Shafie berkata, beliau menolak ajakan untuk menyokong Muhyiddin.

Hari ini, Anthony menafikan Ahli Parlimen dari DAP turut menyokong Muhyiddin untuk menjadi Perdana Menteri sekali lagi.

Sementara itu, Asyraf Wajdi berkata, biar rakyat yang membuat perhitungan akhir untuk menghentikan ‘catur-mencatur di kalangan hanya 221 Ahli Parlimen.

“Biarlah rakyat tentukan hala-tuju negara dengan memilih mereka yang benar-benar ikhlas membela nasib rakyat, bukannya tembolok sendiri.

“Negara tidak boleh lagi dibiarkan dalam keadaan ketidak-pastian yang akhirnya menjejaskan kehidupan rakyat,” ujarnya. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here