Apa jadi cadangan tubuh Muzium Kewartawanan Malaysia?

0
2

WARTAWAN di Malaysia sebenarnya bakal memiliki sebuah bangunan sendiri di Melaka susulan cadangan penubuhan Muzium Kewartawanan Malaysia di negeri itu.

Perkara itu didedahkan bekas Pengarang Kumpulan Berita Harian, Datuk Mior Kamarulbaid Mior Shahid, namun menurutnya perancangan itu tidak menjadi kenyataan.

Menurut Mior Kamarulbaid, cadangan penubuhan muzium itu diutarakan suatu ketika dulu oleh bekas Ketua Menteri Melaka, Tun Mohd Ali Rustam (kini Yang di-Pertua Negeri Melaka).

“Muzium Kewartawanan Malaysia? Dulu, Tun Ali Rustam, ketika jadi Ketua Menteri Melaka pernah menawarkan sebuah bangunan di negeri itu untuk dijadikan Muzium Kewartawanan Malaysia.

“Antara yang terlibat berbincang mengenai cadangan ini ialah Allahyarham Datuk Ahmad Talib, Prof Datuk Dr Murad Merican dan saya.

“Prof Datuk Dr Murad sudah pun menyiapkan kertas cadangan mengenai muzium ini termasuk penyediaan artifak dan bahan sejarah yang akan dipamerkan,” kongsinya menerusi catatan di Facebook.

Mior Kamarulbaid menambah, mereka bukan sahaja berbincang beberapa kali mengenainya, malah Tun Ali sendiri mengatur lawatan khas ke bangunan di Ayer Keroh yang ketika itu menempatkan satu ruang pejabat akhbar Melaka Hari Ini.

“Tun Ali juga menawarkan kepada setiap akhbar supaya membuka pejabat masing-masing di bangunan itu.

“Malangnya, cadangan ini terhenti atas beberapa sebab yang saya rasa tak perlu diceritakan di sini. Prof Datuk Dr Murad boleh sahkan tulisan saya ini,” katanya lagi.

Untuk rekod, Hari Wartawan Nasional (HAWANA) disambut di Melaka pada kelmarin. – Malaysiapost

Gambar sekadar hiasan

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here