Tengku Zafrul optimis industri pelancongan kembali bangkit

0
2

MENTERI Kewangan, Datuk Seri Tengku Zafrul Tengku Abdul Aziz percaya industri pelancongan negara termasuk inap desa akan bangkit kembali selepas mengharungi ‘badai’ Covid-19.

Tengku Zafrul berkata, beliau memahami kesulitan dialami pengusaha ‘homestay’ atau inap desa, sama seperti industri perhotelan sejak wabak melanda negara. 

“Penangan Covid-19 memang cukup dahsyat, hingga ada homestay yang terpaksa menukar status menjadi rumah sewa,” katanya menerusi Facebook.

Justeru, katanya, bagi meringankan beban yang ditanggung, kerajaan melalui Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) telah menyalurkan bantuan kewangan berjumlah RM61 juta.

Katanya, bantuan kewangan itu telah memanfaatkan hampir 30,000 penggiat industri pelancongan termasuk inap desa.

“Langkah kerajaan membuka pintu sempadan negara akan memberi peluang pelancong luar bercuti dalam negara seterusnya memberi impak positif kepada pembangunan industri pelancangon negara,” katanya.

Terdahulu, beliau merasmikan Rumah Tamu Homestay Villa 288 yang diusahakan oleh anak muda, Muhammad Izzat Syafiq Mazlan bersama bapanya Mazlan Juahir.

Beliau berkata, Inap Desa yang bertempat di Kampung Api-Api, Kuala Selangor ini baru dibuka dan menerapkan tema ringkas dan selesa dengan sebuah kolam renang. 

“Keberanian anak-anak muda seperti saudara Izzat Syafiq menceburi bidang pelancongan mencerminkan keyakinan bahawa industri pelancongan akan bangkit kembali seperti sebelum Covid-19 melanda,” katanya. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here