Pengalaman saya cukup matang, layak jadi duta – Tajuddin

0
2
Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman

DATUK Seri Tajuddin Abdul Rahman menzahirkan keyakinan beliau sememangnya layak menggalas tugas sebagai Duta Besar Malaysia ke Indonesia berdasarkan pengalaman dalam politik dan sektor korporat.

Ahli Parlimen Pasir Salak itu berkata, kritikan pihak tertentu berkaitan pelantikannya itu disebabkan mereka tidak mengetahui latar belakang beliau yang merupakan ahli perniagaan dan ahli politik sejak berusia 25 tahun.

“Mereka kata saya tiada kualiti (sebagai duta) sedangkan mereka tidak tahu pun latar belakang saya. Saya masuk dunia perniagaan ketika berusia 25 tahun, begitu juga politik. Saya ada lebih 40 tahun pengalaman untuk dua bidang itu.

“Dalam politik, saya menjadi wakil rakyat ketika berusia 56 tahun iaitu pada tahun 2004 sebagai Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun). Umur yang saya kira cukup matang untuk seorang pemimpin sebelum tiga penggal lagi sebagai Ahli Parlimen pada tahun 2008,” katanya kepada media pada Jamuan Raya TT Education Group di Kolej Antarabangsa Taj, Ipoh, hari ini.

Tajuddin turut mengulas kritikan pihak tertentu kononnya beliau tidak layak menjawat jawatan duta ekoran kelantangannya dan beliau menyifatkannya sebagai tindakan tidak profesional.

“Kalau hendak menyerang, seranglah atas dasar individu itu tidak ada kelulusan atau pengalaman, individu itu pencuri atau penyamun. Ini serangan peribadi kerana bersuara lantang, apa masalah saya lantang? Adakah ini profesional atau tidak?

“Keras pun salah, lemah pun salah. Kita keras dan lembut pada masa dan tempatnya, itu pegangan saya. Saya tak boleh lembut sepanjang masa, ada masa saya kena tegas,” katanya. 

Bekas Pengerusi Bukan Eksekutif Prasarana Malaysia Berhad (Prasarana) itu menjelaskan, pelantikan ahli politik bagi mengisi jawatan bertaraf duta juga tidak patut dijadikan isu kerana ia bukan perkara baharu sebaliknya telah diamalkan sebelum ini.

Tajuddin berkata, sebagai contoh, Allahyarham Tan Sri Mohamed Rahmat dan Datuk Seri Zahrain Mohamed Hashim pernah menjadi Duta Besar ke Indonesia begitu juga Allahyarham Tan Sri Jamaluddin Jarjis dan Datuk Dr Awang Adek Hussin yang dilantik sebagai Duta Besar ke Amerika Syarikat.

“Ada negara yang lantikan dutanya mahupun negara yang menerima cadangan calon bukan dalam kalangan pegawai tadbir diplomatik (PTD), ada antara mereka ahli politik atau tokoh korporat. Ini pernah berlaku tetapi kenapa sekarang pula dipertikaikan?

“Itu (lantikan duta) terpulang kepada Perdana Menteri dan perlu mendapat persetujuan Yang Dipertuan Agong,” katanya. -Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here