Trend solat dengan kipas, orang ramai diminta buat laporan – Idris Ahmad

0
2

PERBUATAN menjadikan kipas sebagai makmum apabila menunaikan solat yang kini tular di media sosial dan menjadi trend ikutan anak muda dan remaja, tidak sepatutnya berlaku, tegas Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Idris Ahmad.

Susulan itu beliau meminta orang ramai melaporkan kepada pejabat agama negeri masing-masing sekiranya terdapat perbuatan menjadikan kipas sebagai makmum apabila menunaikan solat.

Terdahulu tular video, khususnya di aplikasi TikTok yang memaparkan tindakan individu, rata-rata berstatus bujang berlakon menunaikan solat dengan menjadikan kipas sebagai makmum atau imam.

“Janganlah ambil ilmu yang ditiru dari Youtube dan mana-mana sumber yang tidak diketahui. Jadi, perkara yang mengarut dan pelik ini, laporkan kepada pejabat agama supaya boleh diambil tindakan,” katanya. seperti dilaporkan Berita Harian.

Beliau yang juga Naib Presiden Pas berkata demikian kepada media pada Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri Pas di Stadium Indera Mulia, Ipoh hari ini.

Idris turut menasihatkan generasi muda agar mendapatkan ilmu agama dengan mencari guru yang boleh mengajar dengan betul seperti melalui kuliah di masjid, surau dan sebagainya.

Sementara itu, mengenai kegiatan menggunakan imej agama dan gelaran ustaz untuk memperdaya masyarakat dengan tawaran ibadat atau produk untuk kepentingan peribadi, Idris menyifatkan ia sebagai perbuatan zalim.

“Janganlah ambil kesempatan buat perkara begini, terutama soal ibadat kerana ia menzalimi orang-orang yang terkena dengan perbuatan mereka. 

“Pihak yang terkena diharap membuat laporan polis supaya dapat diambil tindakan terhadap mereka yang terlibat,” katanya. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here