Malaysia catat 57,510 kes HFMD

0
2

SEPANJANG 1 Januari hingga semalam, sebanyak 57,510 kes penyakit tangan, kaki dan mulut (HFMD) dilaporkan iaitu peningkatan sebanyak 24 kali ganda bagi tempoh sama tahun lalu, sebanyak 2,333 kes.

Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin, peningkatan kes melebihi paras waspada pada 13 hingga 19 Mac lalu apabila 895 kes dilaporkan dan semakin meningkat ke paras amaran pada 3 hingga 9 April lalu apabila mencatatkan 1,653 kes.

Beliau berkata, bilangan kes mingguan terus meningkat dengan julat kes dilaporkan antara 1,500 ke 15,000 seminggu atau 300 hingga 2,000 kes sehari.

“Peningkatan kes ketara berlaku sejak April lalu berikutan pembukaan aktiviti sosial, termasuk sesi kehadiran penuh sekolah, taska, tadika dan tabika.

“Selain itu, kebersihan diri yang tidak terjaga terutama amalan mencuci tangan, penjarakan fizikal dan penggunaan pelitup muka boleh menyebabkan berlakunya jangkitan HFMD,” katanya dalam sidang media, hari ini.

Menurutnya, sehingga semalam hanya dua kanak-kanak disahkan HFMD mengalami gejala teruk dan memerlukan rawatan di Wad Rawatan Rapi (ICU).

“Kedua-dua kes ini positif virus enterovirus 71 (EV71). Pada 25 Mei (semalam), kanak-kanak pertama beransur pulih dan tidak memerlukan bantuan pernafasan lagi, namun masih dipantau di ICU, manakala kes kedua masih lagi memerlukan bantuan pernafasan tetapi dalam keadaan stabil.

“Survelan virus penyebab HFMD mendapati EV71, Coxsackie A16 (CA16) dan Coxsackie A6 (CA6) adalah virus yang utama yang berada dalam persekitaran Malaysia,” katanya.

Menurutnya, lima negeri yang mempunyai bilangan kes tertinggi ialah Selangor dengan 16,286 kes, Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Putrajaya ( 7,298 kes), Perak (5,045 kes), Kelantan (4,194 kes) dan Sabah sebanyak 3,829 kes.

Beliau berkata, kes paling banyak dilaporkan dalam kalangan kanak-kanak berumur enam tahun ke bawah, iaitu 52,846 kes manakala kumpulan umur tujuh hingga 12 tahun adalah sebanyak 3,741 kes.

“Kumulatif kejadian wabak HFMD tahun inbi sehingga 25 Mei (semalam) adalah sebanyak 1,370 dengan bilangan kes sebanyak 5,203 kes daripada jumlah keseluruhan kes. Selebihnya adalah kes sporadik,” katanya.

Justeru beliau menasihatkan pengusaha dan pengasuh di taska, tadika dan tabika untuk sentiasa memastikan kebersihan premis termasuk peralatan dan perkakasan yang digunakan oleh kanak-kanak.

“Mereka perlu membuat saringan di pintu masuk bagi memastikan kanak-kanak tiada tanda-tanda jangkitan HFMD.

“Kanak-kanak dengan gejala dinasihatkan untuk tidak hadir ke sekolah bagi mengelakkan jangkitan kepada rakannya,” katanya. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here