Era pasca pandemik waktu terbaik perkukuh ekonomi Asia – PM

0
2

MEMPERKASA ekonomi dan hubungan serantau serta perubahan iklim dunia antara perkara yang ditekankan dalam Persidangan Antarabangsa ke-27 Mengenai ‘Masa Depan Asia’ (Persidangan Nikkei) di Tokyo, kata Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Beliau berkata, konflik Rusia-Ukraine memberi kesan yang meluas kepada ekonomi dunia termasuk Malaysia.

Katanya, era pasca pandemik merupakan waktu terbaik untuk kita kukuhkan ekonomi Asia dan menjadikannya peneraju pertumbuhan dunia.

“Justeru, pembuat dasar perlu membina jaringan logistik yang mantap, membina infrastruktur pasaran digital berkaitan kewangan dalam rantaian bekalan, dan mempromosikan pembangunan teknologi digital yang inovatif.

“Pada ketika dunia sedang berbelah pendirian, Asia perlu memperkemas dan memperkukuhkan lagi hubungan sesama kita.

“Perundingan perlu dijadikan asas sebagai penyelesaian kepada pertikaian atau cabaran bersama dengan mencontohi mekanisme ASEAN seperti Forum Serantau ASEAN dan mesyuarat ASEAN + tiga,” katanya menerusi Facebook.

Terdahulu, Ismail Sabri menyampaikan ucaptama pada Persidangan Antarabangsa ke-27 Mengenai ‘Masa Depan Asia’ (Persidangan Nikkei) di Tokyo, pagi ini.

Perdana Menteri menyampaikan ucaptamanya dalam bahasa Melayu yang diterjemahkan ke bahasa Inggeris dan Jepun dalam ucapan selama kira-kira setengah jam itu.

Perdana Menteri berkata, pada masa sama, beliau percaya perhatian juga perlu diberikan kepada Kerjasama Ekonomi Asia Pasifik (APEC) yang mampu memacu potensi globalisasi negara anggotanya.

“Perubahan iklim bukan perkara baharu, dan menjelang 2050, sebahagian besar Asia bakal berdepan dengan peningkatan suhu, hujan serta gelombang haba yang melampau.

“Usaha menangani perubahan iklim merupakan tanggungjawab bersama negara-negara di rantau Asia selain bekerjasama rapat dengan rakan strategik di peringkat global serta organisasi antarabangsa.

“Sebagai anggota pengasas ASEAN, saya percaya Asia mampu menjadi tonggak perubahan terhadap pelbagai perkara apabila kita semua di rantau ini bersatu hati,” katanya.

Terdahulu, media melaporkan, Malaysia mencadangkan tiga perkara utama yang boleh dilaksanakan bagi membolehkan Asia berperanan dalam menerajui dunia yang berbelah pendirian.

Menurut Perdana Menteri, ia termasuk Memperkasakan Integrasi Ekonomi Serantau; Mengukuhkan Kerjasama dan Mekanisme Perundingan dan Bermuafakat dalam Menangani Cabaran Perubahan Iklim. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here