Zuraida umum keluar Bersatu sertai PBM

0
2

AHLI Parlimen Ampang, Datuk Zuraida Kamaruddin mengumumkan keluar Bersatu dan menyertai Parti Bangsa Malaysia (PBM).

Bagaimanapun, Zuraida berkata, beliau akan terus menyokong kerajaan yang dipimpin Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

“Setelah membuat pertimbangan yang mendalam, saya telah memutuskan untuk menyertai PBM. Saya mempercayai dengan perjuangan parti ini dan amat tertarik dengan enam prinsip terasnya.

“Iaitu keterlibatan pelbagai kaum; pemberdayaan wanita; pemerkasaan anak muda; pembangunan ekonomi; peningkatan pendidikan dan kemajuan sains teknologi sebagai elemen untuk menjadikan Malaysia sebuah negara maju.

“Alhamdulillah, pendirian saya selaku Ahli Parlimen Ampang menyokong kerajaan yang dipimpin oleh perdana menteri (government of the day) adalah selari dengan pendirian PBM,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Dalam pada itu, Zuraida berkata, beliau akan berjumpa dengan Perdana Menteri, dalam masa terdekat untuk membincangkan perletakan jawatan sebagai Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi.

“Saya juga akan berbincang tentang peranan dan hala tuju PBM demi mengukuhkan lagi kerajaan Keluarga Malaysia,” katanya.

Zuraida berkata, beliau melihat banyak potensi dalam PBM, terutamanya pada masa rakyat Malaysia sudah bosan dengan politik lama, yang membantutkan kemajuan negara.

“Insya-Allah penyertaan serta pengalaman saya ke PBM nanti akan dapat membantu mengangkat Parti ini ke peringkat yang lebih tinggi, terutamanya menjelang pilihan raya umum yang akan datang.

“Penyertaan saya ini juga akan mengisi kelompongan kepimpinan wanita dalam negara. Sejak penubuhannya, PBM dilihat semakin kuat dan kini mempunyai beberapa orang Ahli Parlimen dan Adun dalam barisannya,” katanya.

Dalam pada itu, beliau turut mengucapkan terima kasih kepada Tun Dr Mahathir Mohamad; Tan Sri Muhyiddin Yassin serta Ismail Sabri di atas kepercayaan mereka melantik dirinya sebagai Menteri Kabinet.

“Sepanjang saya berkhidmat di kedua-dua Kementerian, saya telah berusaha memberikan yang terbaik dan membawa perubahan positif kepada rakyat dan kehidupan mereka.

“Saya juga ingin mengucapkan terima kasih atas sokongan padu yang saya terima sepanjang perkhidmatan saya di kedua-dua Kementerian,” katanya.

Zuraida turut memaklumkan, beliau kini berada di Turki bagi majlis pembukaan Persidangan Perintis Ketujuh Gabungan Wanita Global untuk Al-Quds dan Palestin selama tiga hari bermula pada 27hb Mei 2022.

“Dan seterusnya saya akan ke Athens, Greece bagi memenuhi undangan Misi Perniagaan dan Pengembangan Pasaran Kayu Malaysia bersama Majlis Kayu Kayan Malaysia (Malaysian Timber Council), Insyallah saya akan kembali ke tanah air pada 2 Jun 2022,” katanya. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here