Ringgit jatuh: Najib bidas dakwaan Anwar, gesa jawab tiga soalan

0
3

BEKAS Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak mempertikaikan dakwaan Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim, berhubung kejatuhan berterusan ringgit yang didakwa menunjukkan dunia hilang keyakinan terhadap ekonomi Malaysia.

“Nak tanya Anwar yang kata kelemahan nilai Ringgit Malaysia ketika ini adalah bukti dunia sudah hilang keyakinan terhadap Malaysia,” katanya menerusi Facebook.

Justeru, Najib mempersoalkan dakwaan Presiden PKR itu kerana sebelum ini ketika Pakatan Harapan (PH) dan Perikatan Nasional (PN) memerintah termasuk semasa Anwar menjadi Menteri Kewangan pada 1990, ringgit juga menjunam.

“Pertama, adakah dunia tak yakin dengan kerajaan PH apabila nilai Ringgit menjunam teruk sejurus selepas PRU14 dari paras RM3.83 dan tidak pernah pulih sepanjang tempoh PH memerintah?

“Kedua, adakah dunia tak yakin dengan kerajaan PH dan PN apabila Ringgit lagi teruk berbanding sekarang pada bulan Februari dan Mac 2020?

“Ketiga, adakah dunia tak yakin dengan kamu apabila nilai Ringgit menjunam sampai ke RM4.80 ketika kamu menjawat sebagai Menteri Kewangan pada tahun 1990an?,” katanya.

Terdahulu, media melaporkan Anwar menyatakan kejatuhan berterusan Ringgit menunjukkan yang dunia sudah hilang keyakinan dengan ekonomi Malaysia.

“Kita memerlukan kepimpinan yang pertama-tamanya perlu mencetuskan keyakinan rakyat sebelum kita boleh bermimpi mencetuskan keyakinan luar dan kemudiannya pelaburan,” katanya. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here