Kek ekonomi: Rakyat hanya dapat sisa, potongan besar dibolot elit, keluarga politik.

0
3

AHLI Parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman berkata, rakyat hanya merasa sisa daripada kek ekonomi negara kerana sebahagian besarnya dibolot kumpulan elit dan keluarga politik.

Presiden Parti Ikatan Demokratik Malaysia (MUDA) itu, berkata perihal kek ekonomi sememangnya menjadi isu besar negara, dan masalah utamanya adalah rakyat tidak dapat merasa ‘kek’ terbabit.

“Rakyat Malaysia bukan tak tahu kek ekonomi ini apa – cuma masalah utama adalah rakyat tak dapat rasa kek itu.

“Seramai 800,000 orang hilang kerja sejak pandemik. 600,000 keluarga M40 dah jatuh ke kumpulan B40.

“Lebih 21,000 pelajar telah berhenti sekolah dari tahun 2020.Tapi – keluarga politik bertambah senang dan kaya,” katanya menerusi Facebook.

Tegas Syed Saddiq, situasi sebaliknya berlaku apabila keluarga politik bertambah senang dan kaya sehingga ada antaranya yang menghantar anak sekolah tadika di Perancis.

“Ada yang pakai jam tangan ratusan ribu ringgit. Kereta mewah, rumah besar, anak-anak pergi bercuti di London,” katanya.

Syed Saddiq berkata, sebaliknya, rakyat Malaysia terpaksa melakukan dua hingga tiga pekerjaan untuk menyara keluarga termasuk terpaksa mengorek tabung simpanan KWSP untuk meneruskan hidup.

“Ini Kek Ekonomi juga – tapi rakyat dapat makan sisa sahaja lah. Potongan kek yang besar semua milik kumpulan elit dan keluarga politik.

“Saya dengar banyak pandangan. Ada guru sekolah yang sudah berkhidmat puluhan tahun juga risau dengan masa hadapan pendidikan negara,” katanya.

Syed Saddiq berkata, disebabkan itu banyak keluarga kelas pertengahan yang membelanja suku pendapatan keluarga untuk menhantar anak ke sekolah swasta atau sekolah antarabangsa.

“Sebab apa? Sebab kualiti pendidikan di sekolah awam sudah berubah banyak dari tahun 80-90 an berbanding hari ini.

“Tapi keluarga politik tak tahu hal ini sebab mereka hantar anak-anak belajar luar negara. Jadi kek apa lagi yang tinggal untuk rakyat?,” soalnya.

Sebelum ini, bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak menggunakan analogi bahawa ekonomi negara seperti sebuah kek, yang perlu dibesarkan supaya ia dapat diagihkan kepada kesemua lapisan masyarakat.

Sewaktu berhujah di program Debat Perdana baru-baru, Ahli Parlimen Pekan itu berkata, soal ekonomi perlu mempunyai dua cabang – iaitu ekonomi kapital dan ekonomi rakyat.

Atas sebab itu beliau berkata, Kerajaan Barisan Nasional sewaktu zamannya banyak mewujudkan projek berskala besar, dan juga melaksanakan Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST) untuk mengukuhkan ekonomi negara. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here