Beberapa individu di Singapura disiasat ikuti ajaran Abdul Somad Batubara

0
3

BEBERAPA individu disiasat Jabatan Keselamatan Dalam Negeri (ISD) Singapura dikaitkan dengan radikalisasi selepas didapati mengikuti ceramah dan ajaran pendakwah Indonesia, Abdul Somad Batubara.

Menteri Ehwal Dalam Negeri merangkap Undang-Undang, K Shanmugam berkata antara yang disiasat ialah remaja lelaki 17 tahun, ditahan di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) pada Januari 2020.

“Dia telah menonton ceramah Somad di YouTube tentang pengeboman nekad. Anak muda itu mula percaya bahawa jika anda berjuang untuk ISIS, dan jika anda menjadi pengebom nekad, anda akan mati syahid dan mendapat ganjaran di syurga.

“Justeru anda dapat lihat ajaran Somad mempunyai kesan ke atas dunia nyata,” katanya di ibu pejabat Kementerian Ehwal Dalam Negeri (MHA) hari ini, lapor Berita Harian Singapura.

Shanmugam berkata, kenyataan dan ajaran Abdul Somad tidak dapat diterima di Singapura sama sekali, dan jika dilakukan di negara itu akan menyebabkan pendakwah itu untuk dipenjara.

Katanya, Abdul Somad berdakwah bahawa pengeboman nekad dibolehkan dalam konteks konflik Israel-Palestin, dan dianggap sebagai operasi ‘syahid’.

Pendakwah Indonesia itu membuat kenyataan yang memburuk-burukkan anggota masyarakat agama lain seperti Kristian, dengan menggambarkan salib Kristian sebagai tempat kediaman ‘jin kafir’.

Abdul Somad juga mengatakan bahawa orang Islam tidak harus menerima orang bukan Islam sebagai pemimpin kerana dia berkata orang bukan Islam boleh berkomplot untuk menindas orang Islam.

Beliau juga berkata orang Islam tidak harus menaiki ambulans Palang Merah disebabkan kaitannya dengan salib Kristian.

“Adakah kenyataan ini dianggap sebagai boleh diterima di Singapura?

“Jika seseorang menyatakannya di Singapura, ISD akan mengunjunginya dan mereka akan dipenjara.

“Bahasa dan retorik yang digunakan, seperti anda lihat, adalah amat memecahbelahkan, dan tidak dapat diterima sama sekali di Singapura,” kata Shanmugam.

Beliau turut menekankan bahawa keharmonian agama dan kaum di Singapura dianggap sebagai asas kepada masyarakat dan kebanyakan rakyat menerima hakikat ini. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here