PELANTIKAN Pensyarah Universiti Utara Malaysia, Dr Kamarul Zaman Yusoff sebagai Pegawai Khas Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob disifatkan sebagai membazir wang rakyat.
Ahli Parlimen Kuala Kedah, Dr Azman Ismail berkata, tidak ada kelebihan yang jelas daripada pensyarah kontroversi itu untuk melayakkan beliau dilantik sebagai Pegawai Khas PM bahagian media.
Menurutnya, rekod Kamarul hanyalah penulisan di media sosial yang menyokong aliran politik tertentu dan tidak banyak menyumbang kepada daya intelek.
“Dia (Kamarul) ini politik sempit, perkauman. Saya lihat ini (pelantikan Pegawai Khas) satu pembaziran wang rakyat dan dia tidak ada justifikasi (kelayakan) untuk jawatan ini.
“Dia bukan cemerlang pun, saman orang tak ada kes, tembak secara rambang kepada pembangkang. Dia tidak ada kepakaran yang jelas. Hanya pensyarah kontroversi sahaja,” katanya dipetik Suara Keadilan, hari ini.
Bagaimanapun Dr Azman mencadangkan kepada Perdana Menteri agar lebih baik membentuk satu kumpulan pemikir untuk memulihkan ekonomi negara atau menyatu padukan masyarakat.
Menurutnya, kaedah itu lebih bermakna dalam keadaan sosio-ekonomi rakyat yang tidak menentu ketika ini.
“Negara sekarang perlu diselamatkan selepas pandemik 2 tahun ini. Perdana Menteri perlu fikirkan nak menyatu padukan masyarakat dan mencari idea untuk menyelamatkan ekonomi serta memperbaiki sara hidup rakyat.
“Dia (Kamarul) tak ada idea itu (menyelamatkan negara). Dia tak patut berada dalam team itu dan ini hanya dilihat untuk survival politik (PM), itu sajalah,” katanya.
Baru-baru ini, Ismail Sabri telah mengumumkan pelantikan Kamarul sebagai Pegawai Khas beliau di atas faktor kelayakan.
Namun, pembangkang mempersoalkan Dr Kamarul yang tidak mempunyai pengalaman bertugas di mana-mana agensi media sebelum ini, dilihat lebih kepada seorang penulis di media sosial sejak beberapa tahun kebelakangan ini. – Malaysiapost

