Tiada jejak harimau belang di Kemensah – Perhilitan

0
2

SIASATAN dan pemeriksaan yang dilakukan Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) Selangor di kawasan aduan kehadiran harimau belang2 di Jalan Tropika Kemensah 3, seperti yang diterima kelmarin tidak menemui sebarang tanda kehadiran hidupan liar berkenaan.

Jabatan Perhilitan Selangor dalam satu kenyataan, memaklumkan menerima aduan mengenai kehadiran harimau di kawasan berkenaan pada jam 3 petang dan susulan itu siasatan lanjut dijalankan.

“Seramai sembilan kakitangan dari Ibu Pejabat Jabatan Perhilitan Semenanjung Malaysia, Jabatan Perhilitan Selangor dan Jabatan Perhilitan Wilayah Persekutuan telah pergi ke tempat kejadian untuk menjalankan siasatan.

“Hasil siasatan dan pemeriksaan di sekitar kawasan aduan tiada tanda-tanda kehadiran hidupan liar berkenaan,” menurut kenyataan itu.

Menurutnya, pemantauan susulan juga dilakukan di kawasan aduan pada jam 11.30 malam hingga jam 3 pagi semalam dan pemeriksaan lanjut juga tidak menemui kesan jejak harimau belang di lokasi aduan serta laluan rintis sekitar kawasan berkenaan.

“Pengawal keselamatan yang didakwa melihat kehadiran harimau belang itu tidak dapat dikesan.

“Pemeriksaan lanjut di lokasi juga tidak dapat mengesahkan kesahihan kehadiran hidupan liar terbabit,” katanya.

Justeru, Jabatan Perhilitan Selangor mengingatkan orang ramai agar memastikan mempunyai maklumat yang sahih sebelum membuat sebarang aduan bagi mengelak berita palsu tersebar sehingga boleh menyebabkan berlakunya situasi panik kepada masyarakat setempat.

“Jabatan Perhilitan Selangor akan memantau sekitar kawasan aduan dari semasa ke semasa bagi mendapatkan maklumat yang lebih terperinci.

“Orang ramai disarankan supaya lebih berhati-hati dan berwaspada jika terserempak dengan hidupan liar.

“Sebarang aduan serta maklumat berkenaan hidupan liar boleh disalurkan ke talian hotline Perhilitan 1-800-88-5151 atau e-aduan di laman web www.wildlife.gov.my,” katanya. 

Terdahulu media melaporkan polis menahan seorang pengawal keselamatan warga asing selepas mendakwa melihat kelibat seekor harimau belang berlegar di Kemensah Height, Hulu Kelang awal pagi, kelmarin.

Kisah kemunculan hidupan liar itu tular di aplikasi Whatsapp dengan pengawal keselamatan berkenaan mendakwa menemui seekor haiwan berhampiran sebarang tiang lampu di kawasan terbabit. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here