Bukan cari populariti – Shafie

0
3

Muhammad Mustakim Ramli

Kesediaan kerajaan Sabah bekerjasama dengan kerajaan Persekutuan melalui (G2G) bukan untuk mencari populariti politik, tetapi demi menyelamatkan rakyat yang terjejas akibat penularan Covid-19.

Ketua Menteri, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal berkata kadar pengangguran di Sabah kini mencecah lebih 100,000 orang dan pastinya ia membimbangkan.

“Kita jangan membuang masa untuk terus berpolitik, sebaliknya keutamaan ketika ini adalah memastikan nasib rakyat terbela.

“Saya bimbang masalah utama timbul jika moratorium ditamatkan, lebih ramai rakyat terpaksa berdepan dengan kekangan kewangan, justeru kerjasama G2G itu penting untuk menangani masalah yang bakal berlaku,” katanya.

Mohd Shafie berkata, beliau selalu tekankan G2G Kerajaan Persekutuan mesti dengan kerajaan negeri, bukan landasan politik tetapi menyelamatkan negara.

“Menyelamatkan umat kita perlu melihat bagaimana perbezaan itu bukan oleh kerana kita mahu popular dalam gelanggang politik tetapi mahu menyelamatkan umat di negara ini.

“Kita nak memulihkan ekonomi di negara ini, bayangkan masalah yang kita hadapi di negara ini bila moratorium ditarik balik,” katanya.

Beliau berkata, Sabah adalah negeri terkaya di Malaysia dari segi hasil bumi dengan sumber minyak sebanyak 37 peratus atau 1.8 bilion tong daripada keseluruhan rizab minyak negara tetapi negeri ini masih lagi termiskin.

“Sehubungan itu, pertelingkahan tidak bermanfaat di Dewan Rakyat sepatutnya dihentikan kerana perkara lebih penting ialah bagaimana pemimpin melaksanakan amalan masing-masing bukannya hanya dengan percakapan,” katanya.