Polis tahan lelaki tipu urusan jual beli emas 

0
2

POLIS menahan seorang lelaki berusia 30 tahun yang dipercayai terbabit dalam kes penipuan jual beli emas dan merampas wang tunai RM250,750 dalam satu serbuan di sebuah hotel di Jalan Stesen Sentral, Kuala Lumpur semalam.

Ketua Polis Daerah Dang Wangi Asisten Komisioner Noor Dellhan Yahya, berkata pihaknya menerima laporan polis pada jam 4.27 petang Jumaat lalu mengenai penipuan dalam urusan jual beli emas 916 secara bersemuka di Jalan Conlay, Kuala Lumpur.

“Bertindak atas maklumat, dalam tempoh kurang 24 jam, pada jam 3.10 pagi semalam sepasukan polis dari Bahagian Risikan/Operasi Siasatan Jenayah Komersil Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi telah membuat serbuan di sebuah hotel di Jalan Stesen Sentral.

“Hasil serbuan, polis menahan lelaki tempatan berusia 30 tahun dan merampas sebuah kereta, wang tunai berjumlah RM250,750, telefon bimbit (3), pakaian, cop syarikat, beg, buku cek, kad ATM (5), pasport, kunci dan kad akses rumah,” katanya dalam satu kenyataan.

Menurutnya, siasatan awal mendapati suspek telah memperdayakan mangsa dalam urusan jual beli emas 916 secara bersemuka.

“Suspek telah direman selama empat hari sehingga 24 Mei ini bagi membantu siasatan lanjut mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan,” katanya.

Noor Dellhan menasihatkan orang ramai untuk berhati-hati dalam urusan perniagaan dan membuat semakan latar belakang individu atau syarikat terlebih dahulu sebelum apa-apa urusan perniagaan yang dijalankan.

“Sebarang maklumat berkaitan kegiatan jenayah boleh disalurkan ke IPD Dang Wangi di talian 03-26002222 atau Hotline Polis Kuala Lumpur di talian 03-2159999 atau mana-mana balai polis berhampiran,” katanya. – Malaysiapost 

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here