KPDNHEP heret pihak seleweng diesel bersubsidi ke mahkamah

0
2

EMPAT lelaki termasuk dua warga asing didakwa di Mahkamah Sesyen Sepang, semalam atas pertuduhan menyeleweng 8,355 liter diesel bersubsidi.

Pengarah Penguatkuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP), Azman Adam berkata, tertuduh berusia 25 hingga 40 tahun itu terdahulu ditahan dalam serbuan di Jenjarom, Kuala Langat pada 17 Mei lalu.

Menurutnya, dalam serbuan di sebuah premis tidak bernombor itu, pasukan serbuan menemui dua buah lori yang menjalankan kegiatan pemunggahan minyak diesel ke dalam sebuah tangki di kawasan ladang kelapa sawit.

“Dua lelaki warga Bangladesh dipercayai pekerja atau penjaga premis dan dua lelaki warga tempatan yang memandu lori itu turut ditahan untuk siasatan.

“Jumlah minyak diesel yang disita adalah sebanyak 8,355 liter selain beberapa peralatan dan dokumen. Nilai rampasan keseluruhan dianggarkan RM198,330,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Beliau berkata, dalam pertuduhan di mahkamah semalam, dua lelaki tempatan tidak mengaku bersalah dan dilepaskan dengan jaminan RM5,000 setiap seorang.

“Manakala, dua warga asing ditahan kerana tidak dapat mengemukakan dokumen pengenalan diri.

“Keempat-empat tertuduh didakwa mengikut Peraturan 3(1) Peraturan-Peraturan Kawalan Bekalan 1974 yang jika sabit kesalahan boleh dihukum mengikut Seksyen 22 (1) Akta Kawalan Bekalan 1961,” katanya. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here