3 rakyat Malaysia ditahan seludup dadah ke Singapura

0
2

TIGA lelaki warga Malaysia berusia antara 23 hingga 28 tahun ditahan pihak berkuasa Singapura susulan dipercayai cuba menyeludup dadah ke negara berkenaan pada Khamis lalu.

Pihak Berkuasa Imigresen dan Pusat Pemeriksaan (ICA) Singapura dalam satu kenyataan bersama Biro Narkotik Pusat (CNB), memaklumkan penahanan itu susulan penemuan  kira-kira 17,704 gram (g) heroin, 261g syabu dan 2g pil ekstasi di Pusat Pemeriksaan Woodlands pada Rabu lalu.

“Pada petang 18 Mei, kereta yang didaftarkan di Malaysia memasuki lorong pemeriksaan imigresen di Zon Ketibaan dan menjalani pemeriksaan rutin.

“Pemeriksaan menemui bungkusan dipercayai mengandungi dadah dalam kereta berkenaan dan pemandu warga Malaysia berusia 28 tahun kemudian ditahan dan dirujuk kepada Biro Narkotik Pusat (CNB) untuk siasatan,” menurut kenyataan itu.

CNB dalam operasi susulan yang dijalankan pada awal pagi 19 Mei, dua lagi suspek lelaki warga Malaysia ditahan di sekitar Bedok North Street 1.

“Kedua-duanya disyaki penerima bungkusan berkenaan dan siasatan lanjut masih dijalankan.

“Dadah yang dirampas dianggarkan bernilai hampir S$1,295,000 (RM4.1 juta) dan mencukupi bagi menampung penggunaan kira-kira 8,430 penagih heroin dan 150 penagih syabu untuk seminggu,” menurut kenyataan bersama itu.

Mengikut Seksyen 5 Akta Penyalahgunaan Dadah di negara berkenaan, jika seseorang didapati bersalah mengedar lebih daripada 15g heroin tulen (diamorphine) atau 250g methamphetamine, boleh dikenakan hukuman mati mandatori.

“ICA dan CNB akan terus menjalankan pemeriksaan keselamatan di pusat pemeriksaan untuk mengelakkan percubaan penyeludupan migran, senjata, bahan letupan, dadah dan aktiviti kontraband lain merentasi sempadan negara,” katanya. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here