JABATAN Siasatan Jenayah Komersil (JSJK) mengesahkan menerima satu laporan polis berhubung dakwaan wujudnya tawaran penjualan data rakyat Malaysia yang diambil dari pangkalan data Jabatan Pendaftaran Negara (JPN).
Pengarah JSJK Datuk Mohd Kamarudin Md Din, berkata susulan itu siasatan sedang dijalankan bagi menentukan kesahihan dakwaan yang dibuat berhubung isu berkenaan.
“Merujuk kepada artikel yang dikeluarkan oleh beberapa portal dalam talian berkaitan dakwaan wujudnya tawaran penjualan data yang diambil dari pangkalan data JPN, pihak JSJK mengesahkan telah menerima satu laporan.
“Pihak polis menggesa orang ramai untuk tidak membuat sebarang spekulasi berkaitan isu ini,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Menurutnya, pihak polis memberi jaminan siasatan yang sewajarnya akan dilaksanakan bagi memastikan isu sedemikian dapat ditangani dengan segera.
Terdahulu Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hamzah Zainudin, menegaskan dakwaan kecurian set data mengandungi maklumat peribadi lebih 22 juta penduduk di negara ini bukan daripada JPN.
Beliau berkata, pihaknya mempunyai mekanisme siasatan yang boleh membuktikan bahawa sumber data berkenaan bukan daripada JPN.
Hamzah berkata, pihaknya juga akan melihat keperluan untuk mengaji semula prosedur operasi standard (SOP) membabitkan data peribadi rakyat.
Beliau mengulas mengenai laporan media wujudnya pelanggaran data milik agensi kerajaan membabitkan JPN dan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), di mana penjual dalam talian mendakwa menjual data peribadi lebih 22 juta rakyat Malaysia serta swafoto pengesahan kad pengenalan milik 800,000 individu.
Memetik laporan portal teknologi dan telekomunikasi, Soyacincau pada Selasa, penjual itu mendakwa sebagai pihak yang sama di sebalik penjualan data peribadi milik empat juta rakyat Malaysia tahun lalu.
Menurut portal itu juga, pangkalan data pertama jualan didakwa mengandungi 22.5 juta rekod yang diperoleh daripada Antara Muka Pengaturcaraan Aplikasi (API) MyIdentity JPN, meliputi seluruh populasi dewasa di Malaysia yang dilahirkan antara 1940 hingga 2004. – Malaysiapost

