PBB tak kembali kepada BN

0
3
KUALA LUMPUR 12 OKTOBER 2017. Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Fadillah Yusof bercakap kepada wartawan ketika sidang media di Kementerian Kerja Raya, Jalan Sultan Salahuddin. NSTP/ASYRAF HAMZAH

PARTI Pesaka Bumiputera Bersatu Sarawak (PBB) tidak berhasrat kembali menyertai Barisan Nasional (BN) bagi menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) Sarawak ke-12.

Sebaliknya, parti itu kekal dengan pendirian untuk bersama Gabungan Parti Sarawak (GPS) bagi menghadapi PRN negeri.

Bagaimanapun, Naib Yang Dipertua Kanan PBB, Datuk Seri Fadillah Yusof menegaskan PBB akan terus menyokong kerajaan Persekutuan dan meneruskan kerjasama dengan Perikatan Nasional (PN).

“Setakat ini tidaklah (kembali sertai BN), itu kena tanya Ketua Menteri Sarawak (Datuk Patinggi Abang Johari Abang Openg Datuk). Tetapi setakat ini kita kekal dengan GPS dan akan bekerjasama secara erat dengan semua pihak.

“GPS sejak keluar dari BN masih bekerjasama secara erat dengan PN yang terdiri daripada gabungan Ahli Parlimen Bersatu, PAS, Umno dan juga komponen BN yang lain,” katanya seperti dilaporkan Berita Harian.

PBB keluar BN selepas Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14) dan memilih untuk bersama tiga lagi parti tempatan Sarawak iaitu Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP), Parti Rakyat Sarawak (PRS) dan Parti Demokratik Progresif (PDP) menerusi Gabungan Parti Sarawak (GPS).

Dalam pada itu, Fadillah menafikan siri konvensyen khas PBB yang diadakan di dua zon iaitu Betong dan Miri pada bulan ini sebagai persediaan awal bagi menghadapi PRN Sarawak.

“Rasanya tidak ada kaitan dengan PRN Sarawak. Sepatutnya konvensyen ini dibuat lebih awal, tetapi tergendala disebabkan Covid-19.

“Disebabkan itu setiap bahagian kita gabungkan kepada empat zon dan selepas ini konvensyen PBB akan diadakan di Sibu dan penutupnya bagi zon Kuching,” katanya. – Malaysiapost