9 LRA dibina, bekal 125 juta liter air sehari untuk rakyat Kelantan

0
2

KERAJAAN Kelantan komited membina dan menaik taraf loji rawatan air (LRA) bagi memulihkan masalah krisis air yang membelenggu rakyat negeri itu.

Pengerusi Perbadanan Pengurusan Aset Air Berhad (PAAB), Datuk Dr Mohd Khairuddin Aman Razali, berkata sebanyak RM471 juta daripada RM622 juta yang diperuntukan kerajaan negeri adalah untuk membina sembilan dan menaiktaraf sebuah LRA untuk membekalkan 125 juta liter air sehari kepada rakyat.

“Semua projek yang sedang berjalan menurut jadual ini bagi memastikan rakyat Kelantan mendapat sumber air bersih dengan lancar dan bersepadu.

“Kerajaan Persekutuan juga sedang membiayai pelbagai lagi projek air di Kelantan menerusi Kementerian Alam Sekitar dan Air dan Kementerian Pembangunan Luar Bandar dengan dana berbilion ringgit bagi memastikan seluruh rakyat mendapat bekalan air bersih yang mencukupi untuk jangka pendek dan jangka panjang.

“Dalam masa yang sama beberapa projek menerusi konsep Inisiatif Pembiayaan Swasta (PFI) juga sedang berjalan bagi memperkasakan lagi pengurusan air di Kelantan,” katanya dalam hantaran Facebook, hari ini.

Mohd Khairuddin berkata, hari ini pejabat PAAB menerima kunjungan Dr Mohd Roshdi Hasan yang merupakan Pengurus Besar, Kelantan Utilities Mubarakan, anak syarikat Perbadanan Menteri Besar Kelantan.

Turut hadir Pengurus Pemasaran Perbadanan Menteri Besar Kelantan, Nazman Che Ibrahim.

“Perbincangan berkisar pada projek-projek pembinaan loji dan paip air yang sedang berjalan rancak di Kelantan sekarang menerusi kerjasama antara PAAB dan AKSB (Air Kelantan Sdn Bhd) yang semuanya bernilai lebih RM622 juta,” katanya. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here