10 jururawat Wad Diraja HSA terima hadiah kereta dari Sultan Johor

0
3

SULTAN Johor, Sultan Ibrahim Iskandar berkenan mengurniakan kereta Perodua Myvi kepada 10 jururawat Wad Diraja Hospital Sultanah Aminah (HSA) Johor Bahru.

Pengurniaan itu adalah bagi menzahirkan penghargaan di atas sumbangan serta khidmat mereka kepada Baginda dan keluarga Diraja Johor.

Penyelia Jururawat, Matron Rokiah Samin yang bertugas di Wad Diraja HSA sejak 2006, melahirkan perasaan syukur di atas kurniaan berkenaan.

“Mewakili mereka yang lain, saya menjunjung setinggi-tinggi kasih kepada Baginda Tuanku Sultan di atas kurniaan ini.

“Besar sungguh nilainya kepada kami semua, dan kami juga sentiasa mendoakan kesejahteraan dan kesihatan Sultan Johor serta keluarga Diraja Johor,” katanya seperti dilaporkan Royal Press Office (RPO).

Kenderaan berkenaan disampaikan kepada mereka dalam satu majlis di Kasawari Motors Sdn Bhd di Larkin, Johor Bahru oleh Pengarah Kasawari Motors, Muhammad Fahmi Hassan.

Turut berkongsi perasaan syukur, Nuraini Aziz, 28, yang hadir sendiri untuk menerima kenderaan itu walaupun masih dalam tempoh pantang selepas melahirkan anak tiga hari lalu.

“Saya bersyukur dapat hadir kerana ini merupakan satu kenangan yang sangat istimewa.

“Kami akan terus memberikan perkhidmatan terbaik kepada Sultan Johor dan keluarga Diraja Johor,” katanya. – Malaysiapost