POLIS kini dalam usaha mengesan seorang individu yang dikehendaki bagi membantu siasatan berhubung satu artikel yang didakwa berunsur fitnah dan penghinaan terhadap Institusi Diraja Pahang.
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Datuk Seri Abd Jalil Hassan, berkata lelaki yang dikehendaki itu adalah Hussein Abd Hamid, 75, yang juga warga tempatan.
“Lelaki terbabit dikehendaki untuk siasatan bersabit laporan polis berkenaan satu artikel bertajuk ‘Randy Bastard These Pahang Royals’ yang mengandungi kenyataan berunsur fitnah serta penghinaan terhadap Institusi Diraja Pahang.
“Kes disiasat mengikut Seksyen 4(1) Akta Hasutan 1948 dan Seksyen 233 (1) Akta Komunikasi dan Multimedia 1998,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Beliau meminta orang ramai yang mengenali atau mempunyai maklumat mengenai individu dikehendaki terbabit untuk menghubungi pihak polis.
“Orang ramai yang mempunyai maklumat diminta menghubungi Ketua Unit Siasatan Jenayah Terkelas, Superintendan Junainah M Kasabolah atau Pegawai Penyiasat Inspektor M Jagachandran di talian 03-22666071,” katanya. – Malaysiapost

