MESYUARAT Jawatankuasa Khas Parlimen menimbang Rang Undang-Undang (RUU) Perlembagaan (Pindaan) (No.3) 2022 Mengenai Peruntukan Larangan Ahli Dewan Rakyat Bertukar Parti hampir memuktamadkan semua keputusan peringkat dasar untuk pihak Jabatan Peguam Negara RUU berkenaan.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-undang), Datuk Seri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar, berkata mesyuarat juga telah merungkai masalah dasar dan persoalan yang dibangkitkan oleh banyak pihak.
“Daripada itu juga, jika dirujuk kepada semua saranan oleh pertubuhan bukan kerajaan (NGO), masyarakat madani, pakar akademik dan kepakaran lain nampaknya ada kata sepakat dalam sudut pelaksanaan dasar undang-undang ini.
“Draf yang bakal dibincang dalam mesyuarat pada 19 Mei adalah untuk memuktamad draf RUU Larangan Ahli Dewan Rakyat Bertukar Parti yang digubal oleh Jabatan Peguam Negara berlandaskan dasar-dasar diputuskan hari ini.
“Jawatankuasa berharap draf ini dapat dibentangkan sebagaimana dijadualkan sejak awal, oleh itu perbincangan mengenai takwim pelaksanaan RUU ini telah dibuat secara mendalam hari ini (semalam) bagi memastikan kelulusan Perdana Menteri dan Jawatankuasa Pemandu Transformasi dan Kestabilan Politik diperoleh,” katanya dalam hantaran Facebook.
Wan Junaidi berkata mesyuarat yang dipengerusikan beliau itu dihadiri Datuk Seri Azalina Othman Said (Pengerang), Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz (Padang Rengas), Datuk Seri Hamzah Zainuddin (Larut), Datuk Seri Takiyuddin Hassan (Kota Bharu).
Turut hadir Lukanisman Awang Sauni (Sibuti), Gobind Singh Deo (Puchong), Mohamed Hanipa Maidin (Sepang), Datuk Seri Madius Tangau (Tuaran), Datuk Seri Saifuddin Nasution (Kulim-Bandar Baharu) dan Datuk Darell Leiking (Penampang). – Malaysiapost

