Keputusan kes rasuah Rosmah 7 Julai ini 

0
2

MAHKAMAH Tinggi Kuala Lumpur menetapkan 7 Julai bagi keputusan sama ada Datin Seri Rosmah Mansor didapati bersalah atau bebas pertuduhan rasuah projek solar hibrid untuk 369 sekolah luar bandar di Sarawak. 

Hakim Mohamed Zaini Mazlan menetapkan tarikh itu ketika sebutan kes berkenaan hari ini, lapor Berita Harian. 

“Kes ini berada di penghujung dan hari ini tiba masa untuk kita akhirinya. Saya cadangkan dua bulan daripada sekarang dan keputusan akan diputuskan pada jam 9 pagi, 7 Julai ini,” katanya. 

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Kanan, Datuk Seri Gopal Sri Ram manakala Rosmah, 71, yang juga isteri Datuk Seri Najib Razak diwakili peguam, Datuk Akberdin Abdul Kader. 

Hakim kemudian membenarkan permohonan masa itu untuk menjawab persoalan perundangan berkenaan. 

“Jangan bimbang. Saya sudah tentu akan melihat kepada nas perundangan itu. Saya juga sudah meneliti hujahan sebelum ini sekurang-kurangnya sekali dan akan melihatnya kembali. Saya memberi jaminan terhadap perkara itu,” katanya. 

Pada 23 Februari lalu, pihak pembelaan menutup kesnya selepas memanggil dua saksi iaitu Rosmah dan bekas Pengarah Bahagian First Lady of Malaysia (FLOM), Datuk Seri Siti Azizah Sheikh Abod. 

Pada 18 Februari 2021, Rosmah diperintah membela diri terhadap tiga pertuduhan selepas pihak pendakwaan berjaya membuktikan kes prima facie terhadap beliau. 

Rosmah berdepan satu pertuduhan meminta RM187.5 juta dan dua pertuduhan menerima rasuah berjumlah RM6.5 juta daripada pengarah urusan Jepak Holdings Sdn Bhd ketika itu, Saidi Abang Samsuddin. 

Rasuah itu didakwa diterima melalui bekas Pegawai Khas beliau, Datuk Rizal Mansor sebagai ganjaran kerana membantu Jepak Holdings mendapatkan Projek Bersepadu Sistem Solar Photovoltaic Hibrid serta Penyelenggaraan dan Operasi Genset/Diesel bagi 369 sekolah luar bandar di Sarawak bernilai RM1.25 bilion secara rundingan terus daripada Kementerian Pendidikan. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here