MALAYSIA yang juga Juara Kumpulan D diundi bertemu India, Naib Juara Kumpulan C pada suku akhir Final Piala Thomas dalam undian yang berlangsung Bangkok, hari ini.
Malaysia akan berhadapan Korea Selatan atau Denmark sekiranya layak ke separuh akhir, lapor Bernama.
Undian hari ini juga menyaksikan juara bertahan Indonesia bertemu China dalam pertembungan seperti ulangan final tahun lepas sementara Juara Kumpulan C, Taiwan akan menentang Jepun.
Mengulas mengenai undian ini, Pengarah Prestasi Tinggi Persatuan Badminton Malaysia (BAM) Dr Tim Jones berkata skuad negara tidak akan mengambil mudah cabaran dari India kerana mereka mempunyai barisan pemain yang mantap pada edisi tahun ini.
“Bagaimanapun, kami merasa yakin selepas berhadapan dengan Jepun dan kami sedia untuk bertemu dengan sesiapa pun pada waktu ini, ayuh, ke suku akihir,” katanya.
Tim juga gembira menyaksikan kemenangan Malaysia ke atas Juara 2014, Jepun terutamanya aksi hebat Lee Zii Jia menumpaskan Kento Momota yang beliau percaya akan melonjakkan keyakinan pemain itu menjelang perlawanan suku akhir menentang India. – Malaysiapost

