Apa masalah PAS ada dalam PN dan MN? – Mohd Amar 

0
3
Datuk Mohd Amar Abdullah

PAS sentiasa terbuka untuk bersama Umno namun menyifatkan pendirian Umno bercelaru berikutan kenyataan tidak selari pucuk pimpinan parti itu berkenaan menoktahkan hubungan kedua-dua parti ketika ini.  

Naib Presiden PAS, Datuk Mohd Amar Nik Abdullah berkata kenyataan Presiden Umno, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi berkaitan status kerjasama kedua-dua parti dalam Muafakat Nasional (MN) adalah bersifat peribadi dan tidak menggambarkan kehendak parti tersebut.  

Sebelum ini, menurut Mohd Amar, Timbalan Presiden Umno, Datuk Seri Mohamad Hasan pernah menegaskan parti itu akan memuktamadkan kedudukan dalam MN yang dibina bersama PAS selepas menerima pandangan pimpinan parti semua peringkat. 

Jelasnya, Umno Selangor pula sudah menyatakan persetujuan untuk bekerjasama dengan PAS dan Naib Presiden Umno, Datuk Seri Mahdzir Khalid mahu keputusan kerjasama antara kedua-dua parti untuk menghadapi PRU15 dibincangkan pada peringkat kepemimpinan tertinggi parti. 

“Kenyataan presiden dan timbalan presiden (Umno) tidak sekata dan nampak celaru. Jadi kita nak pakai (kenyataan) siapa? Lebih baik bincang dahulu dengan parti.  

“Kalau kita mahu khianati Umno, kita dah tarik sokongan kepada Umno. Bersatu juga tidak tarik sokongan kepada Umno. Kita sanggup duduk bersama Umno sebab demi penyatuan ummah,” katanya memetik laporan Berita Harian. 

Mohd Amar menegaskan, PAS sentiasa terbuka untuk menjalin kerjasama politik dengan mana-mana parti termasuk Umno pada PRU15 demi kepentingan bangsa dan agama. 

“PAS sentiasa terbuka untuk bersama-sama Umno dan boleh duduk berbincang asalkan ia membabitkan kepentingan orang Melayu dan Islam. Umno boleh nilai semula pendirian mereka sebelum ini dan kembali bekerjasama dengan PAS.  

“Walaupun Umno buat macam tu dekat kita, kita tidak simpan dendam dalam hati. Orang tuduh PAS macam-macam kerana ada dalam MN dan bersama PN. Jadi apa masalah PAS ada dalam PN dan MN? 

“PAS juga memikirkan kepentingan ummah kerana mahu halang Pakatan Harapan (PH) menjadi kerajaan. Mengikut pengalaman sebelum ini, sudah perit 22 bulan dengan PH,” katanya.  

Sementara itu, Pengarah Pilihan Raya PAS Pusat, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor senada dengan Mohd Amar bahawa PAS tiada sebarang masalah meneruskan kerjasama politik dengan Umno melalui MN.  

Menteri Besar Kedah itu berkata, PAS masih berpegang kepada keputusan pimpinan tertinggi dan Majlis Syura, iaitu memperkukuh MN dan memperkasa Perikatan Nasional (PN). 

Sehubungan itu, beliau mengingatkan, pihak yang cuba mengganggu-gugat gagasan berkenaan memberhentikannya kerana ia hanya menyebabkan usaha menyatupadukan umat Islam dan Melayu di negara ini terjejas. 

“PAS tiada masalah (kerjasama) dengan Umno. Jika Umno ada masalah, mereka perlu selesaikan kerana PAS tidak ada masalah. Kita masih berpegang kepada keputusan dibuat kepimpinan dan Majlis Syura, kita konsisten dan tidak ada perubahan di mana PN kita mahu, MN pun kita mahu,” katanya. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here