JAS gantung kebenaran operasi premis punca Sungai Ngulang tercemar

0
2

SIASATAN Jabatan Alam Sekitar (JAS) Perlis mendapati punca pencemaran Sungai Ngulang, Padang Besar adalah disebabkan kebocoran kolam efluen dan kesan pelepasan efluen tidak dirawat ke longkang awam.

Menteri Alam Sekitar dan Air, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man, berkata siasatan mendapati pelepasan efluen tidak dirawat itu adalah dari sebuah premis yang beroperasi di Kawasan Perindustrian Bukit Keteri.

“JAS Perlis telah mengenakan Penahanan Operasi Kelengkapan dan syor kebenaran beroperasi secara sementara yang telah dikeluarkan sebelum ini ditarik balik.

“Satu kertas siasatan untuk pendakwaan turut disediakan. Terima kasih pihak Persatuan Pengguna-Penguna Pulau Pinang (CAP), pengadu, rakyat dan JAS Perlis,” katanya menerusi Facebook.

Semalam, CAP menggesa JAS Perlis mengambil tindakan tegas ke atas kilang yang dikesan menyebabkan pencemaran di Sungai Ngulang, Padang Besar sehingga menyaksikan ratusan ikan di dalam sungai itu mati.

Presidennya, Mohideen Abdul Kadeer berkata, penduduk mendakwa masalah pencemaran itu berpunca daripada pelepasan sisa loji pengolahan efluen dari kilang di Bukit Keteri.

Menurutnya, jarak kilang berkenaan hanya sekitar lima kilometer dari sungai yang tercemar.

Jelasnya, CAP kesal kerana kejadian air sungai bertukar warna menjadi hitam itu pernah dilaporkan berlaku sebelum ini namun masalah sama masih juga berulang. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here