Nurul Huda Abhar
PELAKON, Zara Zya kini mengambil keputusan mengenakan hijab dan memuat naik fotonya bertudung sejak beberapa hari lalu di laman sosial.
Penguasaha restoran Zara Zya Cooks ini mencuri perhatian pengikut di Instagram apabila mengenakan hijab dalam hantaran terbaharunya sejak beberapa hari lalu.
Turut mengukuhkan berita penghijrahannya apabila Zara, 35, membuat hantaran di Intagram yang membawa maksud Allah telah memakbulkan doanya untuk berhijrah.
“Jika Allah cepat makbulkan doa kita, itu tandanya Dia sayang kita.
“Tapi kalau Allah lambat makbulkan doa kita, sabar… Dia tetap sayang cumanya Dia sedang menguji kita.
“Sesungguhnya Dia Maha Mengetahui. Pasti Dia merancang sesuatu yang lebih baik buat kita,” katanya.
Pelakon drama Pia itu juga dilihat telah menjual pakaian lamanya di status “story” laman Instagram beberapa hari lalu.
Menurut laporan media, Zara kini sedang tempoh membiasakan diri dengan penampilan baharu itu dan mengharapkan peminat mendoakan dirinya.
Dia juga berharap keputusan mengenakan hijab akan terus berkekalan dan berusaha untuk menjadi insan yang lebih baik dari sebelumnya.
Anak bongsu dari empat adik beradik itu juga tidak takut jika tawaran berlakon menjadi perlahan selepas bertudung kerana percaya semua rezeki sudah tertulis untuk semua insan. – Malaysiapost

