ISU membabitkan perkhidmatan sebuah syarikat penerbangan kini dilihat semakin serius terutama di Sabah dengan terbaharu dilaporkan pelanggan mengadu berlaku pertindihan tempat duduk hingga mengakibatkan pelanggan mengalami kerugian.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Rina Jainal memaklumkan beliau menerima perkongsian beberapa rakan mengenai isu pertindihan tempat duduk membabitkan penerbangan sebuah syarikat penerbangan terkemuka di Lapangan Terbang Tawau.
Menurutnya, berlaku keadaan di mana satu tempat duduk ada dua penumpang, malah ada penumpang yang terpaksa menghadapi masalah tiket hangus akibat sistem yang kucar kacir berkenaan.
“Persoalannya, mengapa perkara ini boleh berlaku? Kita beli tiket, bayar terus, maknanya ‘seat’ itu untuk kita.
“Malangnya apabila mahu ‘check in’ dalam talian, seat itu telah berpunya dan kita tidak boleh naik penerbangan tersebut.
“Nampaknya episod rakyat Sabah berdepan masalah penerbangan dan syarikat penerbangan terus berlaku,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Beliau berharap kerajaan negeri dan Kementerian Pengangkutan mengambil tindakan tegas terhadap perkara itu.
“Belum lagi masalah penerbangan tertangguh hampir setiap hari yang menyukarkan urusan seharian penumpang,” katanya.
Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi, dalam satu kenyataan semalam berkata, pihaknya mengambil maklum mengenai keluhan rakyat berhubung isu pernerbangan tertangguh.
Beliau berkata, kementeriannya akan melakukan siasatan terhadap dakwaan AirAsia menunda dan menjadualkan semula penerbangan sehingga menimbulkan rungutan orang ramai.
Menurutnya, kelewatan itu dikesan sudah berlaku sejak penghujung bulan lalu dan masih berlanjutan bagi tempoh selepas raya ketika ini. – Malaysiapost

