USNO kini parti komponen dalam GRS

0
2

PERTUBUHAN Kebangsaan Sabah Bersatu (USNO) dengan rasminya menjadi ahli terbaru dalam Gabungan Rakyat Sabah (GRS).

Pengerusi GRS, Datuk Seri Hajiji Noor berkata, ia merupakan keputusan yang dicapai dalam mesyuarat Majlis Tertinggi GRS.

“Untuk makluman semua, parti USNO telah memohon untuk menyertai GRS pada Januari 2021.

“Sudah satu tahun setengah berlalu dan pada hari ini, kita telah putuskan untuk menerima parti USNO untuk menyertai GRS,” katanya kepada pemberita.

Beliau berkata demikian ketika sidang media selepas mempengerusikan Mesyuarat Ahli Majlis Tertinggi GRS, hari ini.

Hajiji berkata, pihaknya ada menerima permohonan daripada parti-parti lain yang ingin menyertai GRS.

Bagaimanapun, katanya mereka memerlukan masa untuk meneliti permohonan-permohonan itu sebelum dapat mencapai kata putus bersama.

“Kita juga menerima permohonan daripada parti-parti lain seperti Parti Kesejahteraan Demokratik Masyarakat (KDM), Parti Liberal Demokratik (LDP) dan juga Parti Cinta Sabah (PCS).

“Kita amat menghargai permohonan mereka untuk menyertai GRS, namun kita secara konsensus berpendapat bahawa kita memerlukan sedikit masa untuk berinteraksi dan mempertingkatkan lagi persefahaman,” ujarnya lagi.

GRS kini dianggotai lima parti, termasuk Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU), Parti Bersatu Sabah (PBS), Parti Solidariti Tanah Airku (STAR) dan Parti Maju Sabah (SAPP). – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here