HARAPAN juara 20 kali Liga Perdana Inggeris (EPL) Manchester United beraksi di kancah Liga Juara-Juara Eropah (UCL) musim depan berkecai apabila tewas kepada Brighton 4-0, hari ini.
United yang wajib menang dalam perlawanan tersebut bagi menghidupkan peluang menghuni di tangga keempat dalam misi melayakkan beraksi di UCL ternyata mempamerkan permainan tidak bermaya.
Brighton yang menghuni di tangga kesembilan liga begitu mudah menguasai permainan dan meratah juara 20 kali dalam perlawanan itu.
Beraksi di laman sendiri, pesta gol Brighton bermula seawal minit ke-15 menerusi pemain tengah Moises Coicedo.
Anak buah Ralf Ragnick terus ditekan sepanjang babak pertama namun ketumpulan barisan serangan Brighton menyelamatkan Red Devils buat seketika.
Bersambung di babak kedua, skrip sama berulang lagi, Manchester terus mempamerkan aksi tidak bermaya dan dihukum Brighton pada minit ke-49 menerusi Marc Cucurella yang menyudahkan hantaran Leandro Trossard yang gagal diselamatkan David De Gea.
Kepahitan yang sukar ditelan penyokong United melihat jentera serangan pasukan kesayangan mereka yang diketuai Cristiano Ronaldo terus tumpul tanpa sebarang percubaan tepat ke arah gol sepanjang satu jam permainan berlangsung.
Derita United terus bertambah apabila Brighton menyumbat gol ketiga menerusi Pascal Grab pada minit ke-57.
Belum reda United merawat luka, Trossard terus menghukum aksi longlai United selang tiga minit selepas itu, sekaligus Brighton selesa mendahului 4-0.
United membuat beberapa pertukaran selepas itu, termasuk menguatkan barisan pertahanan bagi mengelakkan terus diratah Brighton.
Kapten Harry Maguire dimasukkan pada minit ke-71 namun keputusan perlawan kekal 4-0 sehingga wisel penamat.
Keputusan perlawanan itu menyebabkan United terkeluar daripada persaingan memgejar kedudukan keempat EPL yang kini menjadi rebutan antara Arsenal dan Spurs.
Berbaki satu perlawanan, United kekal di tangga keenam EPL dengan memungut 58 mata keseluruhan. – Malaysiapost

