Dua beradik suspek seret penyampai berita ditahan

0
3

POLIS menahan dua beradik bagi membantu siasatan kes penyampai berita TV3 yang cedera diseret ketika cuba mengejar penjenayah yang memecah tingkap kereta miliknya di Damansara Perdana semalam.

Timbalan Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Supritendan Ku Mashariman Ku Mahmood berkata suspek adalah lelaki dan wanita tempatan berusia 31 serta 24 tahun ditahan di satu lokasi di Puncak Alam.

Susulan itu katanya, polis merampas barang kes dipercayai hasil samun termasuk kereta digunakan dalam kejadian tersebut.

“Semakan mendapati suspek lelaki mempunyai empat rekod penyalahgunaan dadah, 15 rekod jenayah dan dua rekod masih disenarai hitam bagi kes penyalahgunaan dadah dan sebagai orang dikehendaki dalam kes penyalahgunaan dadah.

“Suspek wanita itu pula tidak mempunyai rekod jenayah lampau,” katanya menerusi kenyataan malam tadi.

Terdahulu media melaporkan, penyampai berita TV3, Khairul Rizuan Azizan, 34, cuba mengejar penjenayah yang memecah tingkap kereta miliknya sebelum cedera akibat diseret Perodua Myvi dipandu suspek untuk melarikan diri.

Kejadian jam 3.40 petang kelmarin itu menyebabkan Khairul Rizuan luka di tangan, jari kanan serta lutut kanan. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here