KKM tubuh taskforce siasat kematian doktor pelatih HPP

0
2
https://www.facebook.com/photo/?fbid=237627165065961&set=pb.100064560379224.-2207520000..

KEMENTERIAN Kesihatan Malaysia (KKM) akan menubuhkan sebuah jawatankuasa khas bebas untuk menyiasat kes kematian melibatkan doktor pelatih di Hospital Pulau Pinang (HPP) ditemui terjatuh dari bangunan kediamannya pada 17 April lalu.

Perkara itu dimaklumkan Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin menerusi ciapan di laman Twitter miliknya.

Katanya, penubuhan pasukan bertindak bebas itu juga adalah bagi menyiasat budaya buli yang didakwa berlaku.

“Saya telah menerima laporan awal mengenai kematian seorang doktor pelatih daripada ketua jabatan mendiang di Pulau Pinang. Pihak polis juga sedang lengkapkan siasatan.

“KKM akan menubuhkan sebuah ‘taskforce’ bebas untuk siasat kes ini dan juga budaya ‘buli’ yang didakwa berlaku,” katanya dalam hantaran itu hari ini.

BACA LAGI: KKM digesa tubuh jawatankuasa khas siasat kematian doktor pelatih HPP

Sementara itu, Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah dalam balasan Twitter tersebut berkata, budaya buli adalah salah dan tidak boleh diterima terutama di hospital.

“Kami sedang menunggu siasatan polis dan laporan bedah siasatan termasuk keputusan kimia,” katanya.

Sebelum ini, media melaporkan kematian seorang doktor pelatih yang ditemui jatuh dari bangunan kediamannya.

Pengarah Kesihatan Pulau Pinang, Dr Ma’arof Sudin, berkata mangsa adalah seorang Pegawai Perubatan Siswazah yang melaporkan diri di negeri itu pada awal bulan lalu.

Menurutnya, mangsa ditempatkan di Hospital Pulau Pinang (HPP) pada 4 April lalu sebelum ditemui meninggal dunia pada 17 April. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here