PELAWAK Shuib Sepahtu mengakui pernah terdetik enggan meraikan Hari Raya Aidilfitri memandangkan dia masih belum hilang rasa sedih berikutan kematian isteri Siti Sarah Raisuddin, Ogos tahun lalu.
Bagaimanapun hasratnya itu terpaksa dibatalkan tatkala melihat wajah empat orang anaknya.
Shuib, 38, berkata, dia tidak boleh berterusan bersedih sebaliknya kena tabah dan cekal demi kegembiraan anak-anaknya menyambut Aidilfitri.
“Memang ada terasa enggan meraikan hari raya pada tahun ini dan tak belikan persalinan baharu untuk anak-anak.
“Tapi rasa tak sedap pula sebab saya macam pentingkan diri sendiri. Saya kena dulukan anak-anak sebab mereka juga teruja nak sambut Hari Raya. Justeru saya belikan baju raya baharu untuk mereka,” katanya dipetik dari Gempaq.
Namun bekas penyampai radio itu menjelaskan anak-anaknya faham situasi selepas ibu tercinta pergi buat selama-lamanya.
“Anak-anak faham keadaan kami dan jujurnya, saya memang tak sangka,” katanya.
Menurut Shuib, mereka sekeluarga beraya di Perak tahun ini.
Allahyarham Siti Sarah meninggal dunia pada 9 Ogos tahun lalu akibat Covid-19.
Tiga hari sebelum itu Allahyarham terpaksa menjalani pembedahan melahurkan bayi lelaki dalam kandungannya ketika dalam keadaan koma.
Hasil perkahwinan mereka selama 10 tahun, Shuib dan Siti Sarah dikurniakan empat orang anak Uwais Alqarni, 10, Dzahira Talita Zahra, 8, Ariq Matin, 6 dan Ayyash Affan 6 bulan. – Malaysiapost

