Chong Wei kongsi pandangan mengenai badminton dengan PM, isteri

0
2

BEKAS jaguh badminton nombor satu dunia dan negara, Datuk Lee Chong Wei berkesempatan berkongsi pandangan dan pengetahuan mengenai sukan badminton dengan Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dan isteri Datin Seri Muhaini Zainal Abidin.

Pandangan itu dikongsikan beliau bersama isterinya yang juga bekas pemain perseorangan badminton negara, Datin Mew Choo ketika beraya di rumah pemimpin negara itu malam tadi.

Menurut Chong Wei, beliau sudah berkenalan rapat sejak 2008 ketika Ismail Sabri menyandang portfolio Menteri Belia dan Sukan.

“Sejak itu, setiap tahun kami sekeluarga akan melawat rumah beliau ketika Hari Raya. Tahun ini agak special kerana sudah dua tahun tidak jumpa. Kingston dan Terrence (anak) sudah besar, sudah pandai malu-malu!

“Dulu bukan main berguling-guling sana sini. Ini kali, Kingston terus keras macam robot tidak disapu minyak apabila Dato Sri bagi lauk ajak makan. “PM..makan..dulu..PM..makan..Hi..hi..hi”.

“Dengan suara robot 80-an dia, gelak robot last itu yang buat tak tahan!” kongsinya dalam satu hantaran di laman Facebook, hari ini.

Beliau sekeluarga berterima-kasih kepada Perdana Menteri dan isteri serta keluarga atas jemputan raya itu.

“Banyak kami berkongsi pandangan dan pengetahuan mengenai perkembangan badminton negara dengan Datin Seri yang merupakan Patron badminton Malaysia.

“Maaf tak pakai baju Melayu/kebaya. Raya panik punya pasal, tak sempat!” katanya.

Sementara itu, Ismail Sabri turut berkongsi mengenai kunjungan lagenda badminton negara berkenaan

“Terima kasih Chong Wei kerana menjulang nama negara di persada antarabangsa. Semoga Chong Wei terus membantu meningkatkan kecemerlangan badminton negara.

“Malam tadi keluarga saya berhari raya bersama Chong Wei dan keluarga beliau. Memang setiap tahun Chong Wei akan membawa isteri beliau Mew Choo dan anak-anak beraya di rumah.

“Chong Wei amat rapat dengan saya semenjak saya Menteri Belia dan Sukan, sehinggalah sekarang,” katanya. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here