JABATAN Kesihatan Negeri (JKN) Pulau Pinang masih menunggu beberapa keputusan ujian makmal sebelum melengkapkan laporan siasatan kematian seorang doktor pelatih yang ditemui jatuh dari bangunan kediamannya pada 17 April lalu.
Pengarah Kesihatan Pulau Pinang, Dr Ma’arof Sudin, berkata mangsa adalah seorang Pegawai Perubatan Siswazah yang melaporkan diri di negeri itu pada awal bulan lalu.
Menurutnya, mangsa ditempatkan di Hospital Pulau Pinang (HPP) pada 4 April lalu sebelum ditemui meninggal dunia pada 17 April.
“Adalah dimaklumkan bahawa kes ini adalah bawah siasatan Polis Diraja Malaysia (PDRM) yang mengarahkan bedah siasat dijalankan.
“Bedah siasat dilakukan di Jabatan Forensik, HPP. Laporan lengkap siasatan masih menunggu beberapa keputusan ujian makmal.
“Laporan akhir akan dikemukakan kepada pihak PDRM untuk membantu siasatan mereka,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Dr Ma’arof memohon kerjasama semua pihak untuk tidak membuat sebarang spekulasi dan menyebarkan maklumat tidak sahih kerana kes masih dalam siasatan pihak polis serta bagi menghormati keluarga mangsa.
Beliau turut memberi jaminan pihaknya dan HPP akan memberi sepenuh kerjasama kepada PDRM dalam siasatan selanjutnya. – Malaysiapost

