‘MIRA’ ‘DINA’ dan ‘J3H3’ ditahan Skuad 42 JSPT Terengganu

0
2

‘MIRA’ dan ‘DINA’ antara dua kenderaan pelbagai guna MPV yang ditahan oleh Skuad 42 Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Terengganu sempena Op Selamat 18 di Kuala Terengganu semalam.

Ketua JSPT Terengganu Superintendan Ismail Man, berkata pihaknya melakukan pemantauan kelancaran trafik dan samseng jalanan di Jalan Kuala Terengganu – Kuala Berang berhampiran Padang Midin, Kuala Terengganu.

Menurutnya, sebuah MPV jenis Toyota Alphard yang menggunakan nombor pendaftaran ‘MIRA’ dikesan pada jam 3.24 petang, manakala sebuah lagi kenderaan jenis sama dikesan pada jam 3.44 petang, menggunakan nombor pendaftaran ‘DINA’.

“Ketika ditanya mengapa menggunakan nombor pendaftaran ‘MIRA’ dan ‘DINA’, kedua-dua pemilik MPV berkenaan memberikan alasan bahawa mereka teruja mendapat MPV baharu untuk menyambut Syawal.

“Pemandu berkenaan mendakwa mendedikasikan nama isteri atau seseorang pada lima huruf/nombor terakhir pendaftaran MPV masing-masing.

“Namun alasan itu tidak diterima dan menyebabkan ‘MIRA’ dan ‘DINA’ dibawa oleh Skuad 42 ke BSPT Kuala Terengganu,” katanya dalam satu kenyataan.

Menurutnya, kes berkenaan kini disiasat mengikut Seksyen 108 (3)(b) Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana mempamerkan nombor pendaftaran yang hampir-hampir menyerupai apa-apa tanda bagi tujuan untuk memperdayakan pihak berkuasa.

Beliau berkata, sementara itu di Bandar Baru Kuala Nerus, pada jam 7.25 malam tadi, Skuad 42 JSPT Terengganu menahan sebuah kereta Volkswagen Golf MK6 bersama-sama pemandu kerana menggunakan nombor pendaftaran ‘J3H3’.

“Alasan yang diberikan pemandu tersebut adalah kereta berkenaan kononnya dibeli pada malam raya dan belum berkesempatan menukarkan nombor pendaftaran mengikut spesifikasi yang telah ditetapkan.

“Kereta berkenaan walaubagaimanapun telah dibawa oleh Skuad 42 ke BSPT Kuala Terengganu untuk siasatan lanjut mengikut seksyen dan akta yang sama,” katanya.

Menurutnya, jika disabitkan kesalahan, boleh dikenakan hukuman denda tidak kurang daripada RM5,000 dan tidak lebih daripada RM20,000 atau penjara selama tempoh tidak kurang daripada setahun dan tidak lebih daripada lima tahun atau kedua-duanya.

“JSPT Terengganu ingin memberi peringatan kepada semua pengguna jalan raya bahawa dalam kesibukan menyambut Syawal, undang-undang jalan raya hendaklah diberi perhatian dan dipatuhi sepenuhnya.

“Pastikan nombor pendaftaran kenderaan mematuhi spesifikasi yang telah ditetapkan,” katanya. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here