ALIRAN trafik di lebuh raya utama menuju ke utara, selatan dan pantai timur sesak sejak awal pagi tadi, berikutan orang ramai pulang ke kampung bagi menyambut Aidilfitri.
Menurut Facebook Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM) setakat jam 11 pagi tadi, trafik sesak di Lebuh raya Kuala Lumpur-Karak arah timur dan dari Lebuhraya DUKE (Greenwood) & MRR2 (Taman Melati) ke Plaza Tol Gombak terus ke Lentang.
Trafik juga dilaporkan perlahan di Lebuhraya PLUS arah selatan termasuk Putra Mahkota ke RnR Seremban; Seremban ke RnR Senawang dan Skudai ke Kulai serta Ayer Hitam ke Yong Peng.
Malah, kesesakan turut dilapor berlaku di beberapa lokasi di Lebuh Raya Utara Selatan berikutan jumlah kenderaan yang banyak.
Trafik dilaporkan sesak arah utara dari Hospital Sungai Buloh ke Rawang, Behrang ke Slim River, Slim River ke Bidor, Bidor ke Tapah selain terdapat kemalangan di Kilometer 257 dari Terowong menuju Kuala Kangsar.
Trafik arah selatan pula menunjukkan kesesakan berlaku dari Putra Mahkota ke Bandar Ainsdale dan Senawang ke Pedas0Linggi.
Trafik turut perlahan sebelum keluar dari Plaza Tol Kuala Terengganu.
Orang ramai boleh mendapatkan maklumat trafik terkini menerusi talian bebas tol Plusline 1800-88-0000 dan laman Twitter di http://www.twitter.com/plustrafik atau talian LLM di 1800-887752 serta laman Twitter di http://www.twitter.com/LLMinfotrafik. – Malaysiapost

